13 keluarga Orang Asli dilanda ribut

in Edisi Johor by


SEGAMAT – Sebanyak 13 rumah keluarga Orang Asli di Kampung Segamat Kecil, di sini, mengalami kerosakan di bahagian bumbung akibat dibadai ribut dan hujan air batu dalam kejadian kira-kira pukul 5.45 petang, semalam.


Salah seorang mangsa, Zulkarnain Atan, 48, berkata, ketika kejadian, dia baharu sahaja tiba di rumahnya selepas pulang dari Segamat dan hanya isteri, Rokiah Attan 52, dan tiga anaknya sahaja yang berada di rumah.


“Sewaktu saya sampai ke rumah, hujan memang turun dengan lebat dan disusuli dengan angin kencang dan ketika itu saya lihat bumbung bahagian atas rumah saya terangkat seperti mahu tercabut.


“Saya kemudian meminta isteri dan anak-anak supaya pergi ke rumah bawah kerana bimbang keselamatan mereka selain di rumah bawah itu strukturnya lebih kuat kerana dibina dengan batu,” katanya.


Dia ditemui semasa Majlis Penyerahan Wang Bantuan oleh Adun Tenang, Mohd Azahar Ibrahim di Balairaya Kampung Segamat Kecil, di sini, hari ini.

Mohd Azahar (berdiri, tengah) bersama mangsa-mangsa ribut


Menurutnya, tidak beberapa lama kemudian, dia terdengar bunyi kuat dan melihat beberapa keping bumbung rumahnya sudah diterbangkan angin dan kejadian tersebut menyebabkan dia terpaksa tidur berhimpit bersama isteri dan anak-anaknya di rumah bawahnya.


Seorang lagi mangsa, Zamri Abas, 40, berkata, ribut tersebut turut menyebabkan kira-kira 20 keping bumbung rumahnya diterbangkan angin selain tidak sempat menyelamatkan barang-barangan berharga miliknya.


“Bukan setakat ribut, malah kami turut dihujani dengan hujan air batu sebesar ibu jari dan ini merupakan kejadian pertama¬† seumpama ini sejak saya tinggal di kampung ini lebih 30 tahun.


“Mahu atau tidak saya terpaksa membaiki segera bumbung rumah yang rosak kerana tidak ada rumah lain dan kejadian berlaku terlalu pantas dan mujur isteri dan anak-anak saya tidak cedera,” katanya.


Sementara itu, Mohd Azahar berkata, beliau yang menghulurkan bantuan segera meminta semua mangsa membuat satu laporan polis sebelum menyerahkan salinan laporan tersebut beserta gambar kerosakan rumah untuk diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).


“Mereka (mangsa) masih belum membuat laporan polis walaupun kejadian ini berlaku semalam (kelmarin) dan saya telah arahkan mereka membuat laporan polis secara berkelompok hari ini (semalam) bagi membolehkan mereka menerima bantuan JKM.


“Saya juga akan membawa kejadian ini dalam Mesyuarat Tindakan Daerah hari Rabu ini bagi melihat bantuan yang boleh disalurkan kepada mangsa-mangsa ini sama ada melalui Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) atau jabatan-jabatan kerajaan lain,” katanya.

 


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]