Adun Tanjung Bungah pernah bantah projek

in Semasa by


GEORGETOWN – “Saya pernah membantah permohonan projek ini namun ejekan pula yang diterima.


Itu yang diluahkan Adun Tanjung Bungah, Teh Yee Cheu apabila diminta mengulas mengenai kejadian tanah runtuh yang berlaku di Lengkok Lembah Permai, Tanjung Bungah di sini pagi semalam.


Yee Cheu berkata, ketika dia menerima cadangan permohonan projek berkenaan, dia telah menyuarakan alasan mengapa projek berkenaan tidak boleh diluluskan namun pandangannya langsung tidak dipeduli oleh pihak terbabit.


Menurutnya, beliau juga tidak mengetahui bila projek berkenaan diluluskan dan hanya mengetahui mengenai perkara itu selepas kerja-kerja awal di tapak pembinaan mula dilakukan.


“Apabila saya menyuarakan bantahan mengenai projek ini ada pula yang mengejek saya dengan mengatakan saya terlalu sensetif.


“Bukan projek ini sahaja yang saya bantah sekeras-kerasnya malah apa sahaja permohonan projek yang melibatkan pembangunan di lereng bukit saya tidak akan setuju namun suara saya tidak dipedulikan,” katanya ketika ditemui dilokasi kejadian di sini pagi tadi.


Mengakui beliau terlalu kesal dengan kejadian yang berlaku, Yee Cheu berkata, kerajaan negeri harus bertanggungjawab atas tragedi yang telah meragut nyawa seorang penyelia tapak projek warga tempatan dan 10 pekerja warga asing.


Sementara itu Yee Cheu berkata, pihaknya mengesan tiga lagi projek perumahan bertingkat sedang dijalankan di kawasan lereng bukit di Tanjung Bungah, di sini.


Malah beliau difahamkan, sekurang-kurangnya 10 lagi projek pembangunan berisiko tinggi sedang dalam proses untuk diluluskan oleh pihak bertanggungjawab.


“Kawasan Tanjung Bungah mempunyai nilai hartanah yang tinggi dan ia memberi keuntungan kepada kapitalis yang tidak mengendahkan kepentingan alam sekitar,” katanya.


Source: SH Semasa

[featured-video-plus]