Individu hilang dompet diminta ke balai polis

in Edisi Selangor KL by


KUALA LUMPUR – Polis meminta individu yang kehilangan dompet mengandungi wang kertas  asing bernilai kira-kira  RM12,666 di sebuah pusat beli-belah terkemuka di Jalan Imbi di sini pada 9 Oktober lalu tampil menuntutnya di Balai Polis Tun HS Lee, di sini.


Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman berkata dompet tersebut yang mengandungi 30 keping dolar Amerika Syarikat dan beberapa keping wang kertas Syria ditemui seorang pekerja pembersihan di bilik persalinan bayi di tingkat tiga pusat beli-belah berkenaan.


“Polis tidak menjumpai sebarang dokumen pengenalan diri di dalam dompet itu selain beberapa keping gambar dipercayai pemilik dompet,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian sijil penghargaan kepada pihak keselamatan pusat beli-belah tersebut, di sini hari ini.


Mohd Sukri turut mengucapkan terima kasih kepada pekerja pembersihan berkenaan atas kejujurannya menyerahkan dompet tersebut kepada pihak pengurusan pusat beli-belah itu sebelum diserahkan kepada pihak polis.


Katanya tindakan sedemikan perlu dijadikan tauladan dan dicontohi oleh pihak lain agar dapat melahirkan sebuah masyarakat yang bertanggungjawab dan jujur.


Sementara itu, pekerja pembersihan berkenaan, Samona Marhama, 35, yang ditemui pemberita pada majlis tersebut menyatakan tindakannya menyerahkan dompet itu adalah atas rasa tanggungjawab dan amanah yang menurutnya perlu dimiliki setiap orang.


“Saya terjumpa dompet itu dan mengesyaki bahawa mungkin ada orang yang tertinggal, lalu tanpa berfikir panjang saya serahkan kepada pengurusan untuk diserahkan  kepada pihak polis,” katanya. – Bernama


Source: SH Edisi Sel KL

[featured-video-plus]