Jangan menyibuk urusan JDT

in Sukan by


DUTA dan Perhubungan Antarabangsa Johor Darul Ta’zim (JDT), Luciano Figueroa menempelak pihak yang mempersoalkan pembangunan akar umbi dan pembelian pemain tempatan bagi menyarung jersi skuad Harimau Selatan.


Malah, Figueroa berang apabila pihak terbabit menuduh JDT punca kemerosotan Harimau Malaya.


Sebaliknya, Figueroa berkata, JDT tidak melakukan sebarang kesalahan malah tindakan mereka merekrut pemain bintang tempatan adalah normal dalam dunia bola sepak.


“Kenapa orang yang tiada kena mengena dengan urusan kelab kami sibuk ambil berat tentang apa yang kami lakukan di kelab kami? Sila fokus kepada pasukan masing-masing.


“Apa yang kami lakukan untuk mendominasi adalah hak kami sama ada untuk membangunkan pemain atau sama ada kami mahu membeli pemain dalam setiap pasukan di dunia.


“Mana-mana kelab dalam dunia mempunyai perancangannya yang tersendiri seperti kelab Bayern Munich, Juventus, Chelsea dan lain-lain lagi. Ini adalah normal dalam dunia bola sepak.


“Sebagai contoh Juventus, apabila mereka menguasai Serie A, penjaring terbanyak Serie A pada masa itu adalah Gonzalo Higuain.


“Dan kemudiannya Juventus ingin membeli Gonzalo Higuain. Kenapa? Kerana Juventus ingin mengekalkan penguasaannya serta memiliki sebilangan besar pemain terbaik dunia,” katanya


Figueroa juga hairan kenapa segelintir peminat di negara ini melihat tindakan JDT sebagai jenayah walhal ia adalah senario biasa dan menjadi amalan kelab utama di seluruh dunia.


“Ini adalah perancangan JDT, kenapa orang yang tiada kena mengena dengan urusan kelab kami rasa terganggu? Anda perlu fikirkan diri anda sendiri terlebih dahulu, bukan sibuk dengan urusan kami.


“Jika JDT mahu membeli satu pemain dan meletakkan dia di bangku simpanan, beraksi di padang atau meletakkannya di atas langit sekalipun, itu adalah masalah JDT, jadi apakah masalah anda?,” katanya.


Baru-baru ini, bekas pemain kebangsaan, Datuk Jamal Nasir Ismail yang menyalahkan JDT sebagai punca kemerosotan prestasi skuad Harimau Malaya.


Bekas tonggak Olimpik Moscow 1980 itu mendakwa, tindakan JDT menyapu bersih semua pemain hebat tempatan yang kemudiannya sekadar memanaskan bangku simpanan, cukup merugikan terutamanya buat skuad kebangsaan.


Source: SH Sukan

[featured-video-plus]