Jenazah dua mangsa dikebumi di KL, Surabaya

in Semasa by


GEORGETOWN – Jenazah warga Indonesia Erwin Salis dan Hosrin, mangsa kejadian tanah runtuh di tapak pembinaan projek perumahan mampu milik di Lengkok Lembah Permai, Tanjung Bungah di sini, masing-masing akan dikebumikan di Kuala Lumpur dan Surabaya, Indonesia.


Konsul Konsuler di Pejabat Konsulat Jeneral Republik Indonesia, Neni Kurniati berkata, penerbangan untuk  membawa pulang jenazah Hosrin ke Surabaya telah diuruskan dan dijangka tiba di negara itu malam esok.


“Proses tuntutan mayat kini pada tahap akhir iaitu kedua keluarga sedang membuat laporan polis iaitu  antara prosedur hospital untuk tuntut mayat. Kedua-dua mayat dijangka akan dapat dituntut dalam jam 5 petang,” katanya.


Beliau berkata, pihak konsulat sedang bekerjasama dengan majikan kedua-dua mangsa untuk mendapatkan pampasan yang sewajarnya dan pihak majikan memberi kerjasama yang baik.


Katanya, kedua-dua mangsa sepatutnya mendapat perlindungan insurans kerana kedua-duanya mempunyai permit sah.


Mayat Hosrin, 33, yang tertimbus dalam runtuhan tanah di tapak pembinaan rumah mampu milik semalam ditemui pada jam 11.31 malam tadi manakala mayat Erwin, 35, ditemui pada jam 2.30 pagi ini.


Dalam kejadian jam 8.57 pagi semalam itu, 11 pekerja binaan dari pelbagai negara dipercayai tertimbus dan setakat tengah hari ini tujuh mayat telah ditemui dengan kesemuanya berjaya dikeluarkan serta dibawa ke Hospital Pulau Pinang.


Operasi mengesan empat lagi mangsa sedang giat dijalankan.- Bernama


Source: SH Semasa

[featured-video-plus]