Kemungkinan tanah runtuh pernah disuarakan

in Semasa by


GEORGETOWN – Kemungkinan berlaku insiden tidak diingini di tapak kejadian tanah runtuh di Tanjung Bungah di sini dikemukakan sebanyak dua kali kepada kerajaan negeri Pulau Pinang sejak awal tahun ini, kata gabungan pertubuhan masyarakat  Penang Forum.


Wakil mereka Dr Lim Mah Hui berkata, kali pertama perkara itu dibangkitkan oleh Penang Hill Watch (PHW) ialah pada Januari dan kali kedua pada Mei, memohon agar projek tersebut dihentikan kerana khuatir boleh berlaku runtuhan tanah.


“Gambar-gambar kawasan pembinaan dan pemotongan bukit di tapak ini dikemukakan kepada kerajaan negeri yang menjawab ‘kerja-kerja tanah di situ sedang dipantau’.


“Laporan kali kedua kami kemukakan berserta hasil siasatan susulan dan kali ini kami tidak menerima sebarang maklum balas daripada kerajaan negeri,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.


Kedua-dua laporan tersebut dikemukakan kepada Exco kerajaan negeri Chow Kon Yeow.


Penang Forum memulakan PHW, satu inisiatif komuniti untuk menyalurkan maklumat mengenai pemotongan bukit yang diperoleh daripada masyarakat  kepada kerajaan negeri.


Dalam kejadian jam 8.57 pagi semalam itu, tujuh pekerja binaan terbunuh manakala empat lagi dikhuatiri masih tertimbus dalam runtuhan tanah di tapak projek perumahan mampu milik 50 tingkat di Lengkok Lembah Permai, Tanjung Bungah di sini.


Usaha mencari dan menyelamat masih dijalankan dan polis percaya mangsa tertimbus sehingga sedalam 10 meter.


Mah Hui berkata dua tahun lepas, Penang Forum  menggesa kerajaan negeri pimpinan DAP itu menyemak semula serta menghentikan projek pembangunan di lereng bukit namun tidak dipedulikan.


“Natijahnya yang begitu memeritkan dapat dilihat hari ini dengan kemungkinan 11 nyawa terkorban dalam runtuhan tanah di projek lereng bukit di Tanjung Bungah,” katanya.


Katanya, dalam Garis Panduan bagi Pembangunan di Lereng Bukit, Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata pihak berkuasa tempatan (PBT) Pulau Pinang akan memperkuat unit geoteknikal mereka yang bertanggungjawab memproses dan meluluskan permohonan bagi pembangunan di kawasan bukit, diikuti penguatkuasaan  yang ketat.


“Soalannya apa yang berlaku selepas itu? Adakah kerajaan negeri dan PBT melaksanakan garis panduan tersebut atau telah berlaku satu kecuaian melampau,” katanya. – Bernama


Source: SH Semasa

[featured-video-plus]