Media sosial BN sebarkan cerita kejayaan

in Politik by


KUALA TERENGGANU – Jentera media sosial Pemuda Umno tidak akan terpengaruh dengan jentera pihak pembangkang yang suka menghentam dan memfitnah kerajaan dan BN melalui alam maya.


Ketua Pemuda Umno Terengganu, Mohd Johari Abu Bakar sebaliknya berkata, pihaknya lebih memberi tumpuan terhadap penyebaran maklumat dengan fakta yang benar serta kejayaan BN dan kerajaan dalam memberi perkhidmatan kepada rakyat.


Menurutnya, maklumat-maklumat sedemikian dilihat penting dalam memastikan rakyat terus bersikap positif terhadap kerajaan sedia ada dan menilai sendiri keupayaan BN demi menjamin kesejahteraan hidup rakyat.


“Hari ini media sosial digunakan oleh ramai pihak dan dijadikan sebagai platform sebagai sasaran untuk menghentam kerajaan tetapi kita berbeza kerana kita arah supaya sebarkan perkara yang benar dan tidak buat fitnah kepada mana-mana pihak,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.


Beliau menjelaskan bahawa Pemuda Umno yang terlibat dengan tugas-tugas mengendalikan sosial media telah pun menjalani kursus dan terbaharu telah pun dilaksanakan pertengahan bulan ini.


Beliau berkata, pihak yang suka menyebarkan berita-berita fitnah mengenai kerajaan dan BN sebenarnya sedang ketandusan isu sehingga sanggup memburuk-burukkan kerajaan dan pemimpin BN.


Sementara itu, mengulas mengenai pilihan raya, Pemuda Umno Terengganu bersiap sedia dari pelbagai sudut.


Mohd Johari menegaskan bahawa pihaknya bersiap siaga dan bila-bila masa sahaja pilihan raya diumumkan, pihaknya akan mengambil peranan masing-masing dalam melancarkan gerak kerja sepanjang kempen pilihan raya serta hari pengundian berlangsung.


Jelasnya, kedatangan pemimpin-pemimpin utama dan kanan di negeri ini termasuk kehadiran Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini juga dilihat sebagai isyarat pilihan raya sudah dekat.


“Untuk persiapan pilihan raya kita sudah bersiap sedia dan untuk tugasan kita ada beberapa portfolio antaranya pemasangan poster, bendera dan teknologi maklumat. Dari segi bajet, logistik dan peralatan juga tiada masalah,” katanya.


Source: SH Politik

[featured-video-plus]