Pemandu maut gara-gara lembu atas lebuh raya

in Edisi Terengganu by


KUALA BERANG – Gara-gara seekor lembu berada atas lebuh raya, tiga kenderaan terlibat dalam kemalangan yang meragut nyawa seorang pemandu di Kilometer 380.1 LPT 2 (Ajil-Bukit Besi) di sini, malam tadi.


Dalam kejadian kira-kira 11 malam itu, Razilan Zakaria,48, beralamat di Kampung Kubang Golok Perupok, Bachok, Kelantan yang memandu kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux maut di tempat kejadian.


Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, kemalangan itu melibatkan Proton Saga, Toyota Hilux dan Mitsubishi Evo yang kesemuanya daripada arah Kuala Terengganu menuju ke Kuantan.


“Kemalangan di percayai berlaku apabila Proton Saga dipandu seorang pelajar lelaki berusia 22 tahun tidak sempat mengelak lalu terlanggar seekor lembu yang berada di lorong kanan laju sebelum kenderaannya terhenti di laluan tersebut.

Lembu yang berada di atas lebuh raya malam tadi mati dirempuh kenderaan.


“Pada masa itu, sebuah pacuan empat roda dari arah belakang (dipandu mangsa yang maut) cuba mengelak Proton Saga berkenaan hingga menyebabkannya hilang kawalan dan melanggar pengadang jalan, lalu terbalik.


“Akibat daripada itu, pemandu Toyota Hilux tercampak keluar daripada kenderaan. Sementara itu, sebuah kereta jenis Mitsubishi Evo dipandu lelaki berusia 29 tahun dari arah sama juga gagal mengelak dan turut merempuh pengadang jalan,” katanya.


Beliau berkata,  mangsa yang meninggal dibawa ke Hospital Hulu Terengganu untuk bedah siasat dan punca kematian disebabkan kecederaan parah di bahagian kepala, manakala dua lagi pemandu berasal daripada Bagan Serai, Perak serta Teluk Kalong, Kemaman tidak mengalami kecederaan.


Katanya, ketika kejadian cuaca berkeadaan baik, manakala permukaan jalan juga kering.


Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]