Pertumbuhan ekonomi, nilai moral perlu seimbang

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Pertumbuhan pesat ekonomi di Malaysia perlu diseimbangkan dengan nilai moral dan kemasyarakatan dan sehubungan itu kini masanya untuk membangunkan rangka kerja baharu, efektif dan mampan bagi menangani pelbagai masalah sosial menerusi pasukan petugas khas.


Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, kerjasama penuh oleh semua pihak berkepentingan diperlukan untuk menangani isu itu.


Katanya, kejayaan sesebuah negara bukan sahaja bergantung pada ekonomi, sains dan teknologi maklumat dan komunikasi tetapi juga tentang bagaimana untuk membina masyarakat Malaysia yang mantap dari segi moral, kerohanian dan mental serta sihat.


“Disebalik banyak kejayaan dicapai, kemajuan dari segi sosial masyarakat kita masih ketinggalan. Kini masanya untuk kita menyelesaikan isu modal sosial negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Lam Thye berkata semua rakyat Malaysia perlu bertanggungjawab bagi kegagalan nilai-nilai berkenaan  dan penurunan standard sosial yang semakin ketara kini.


“Kadar jenayah yang serius, masalah penyalahgunaan dadah yang tidak dapat diatasi, rasuah dalam sektor awam dan swasta, masalah disiplin di sekolah, ponteng, membuli dan budaya keganasan yang berlaku memerlukan tindakan segera untuk menyelesaikan isu modal sosial negara ini,” katanya.


Oleh itu, katanya masanya sudah tiba untuk meningkatkan kualiti hidup dan menangani pelbagai trend negatif itu sebelum keadaan menjadi bertambah teruk.- Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]