Polis rampas pil ekstasi bernilai hampir setengah juta

in Semasa by


SKUDAI – Polis merampas dadah jenis pil ekstasi seberat 4.5 kilogram bernilai lebih RM400,000 selepas menahan empat individu termasuk seorang warganegara Indonesia dalam satu serbuan di sebuah hotel bajet di Setia Tropika, Kempas, Jumaat lalu.


Dalam serbuan yang dilakukan kira-kira jam 1.50 pagi itu, turut dirampas dadah jenis syabu seberat 5.08 gram yang ditemui di atas meja hotel berkenaan serta sudah lengkap dibungkus (packing).


Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara (JBU), Asisten Komisioner Mohd Taib Ahmad berkata, siasatan awal mendapati kesemua dadah tersebut digunakan untuk pasaran tempatan terutamanya untuk pusat-pusat hiburan sekitar Johor Bahru.


“Suspek yang ditahan adalah dua lelaki tempatan berusia 26 dan 29 tahun bersama seorang wanita berusia 33 tahun, manakala warganegara Indonesia pula berusia 39 tahun.


“Mereka ini dipercayai menggunakan modus operandi berpindah dari satu tempat ke satu tempat untuk menyediakan pek bekalan bagi tujuan edaran di sekitar bandar raya,” katanya pada sidanv media di Ibu Pejabat Polis Daerah JBU, di sini, sebentar tadi.


Mohd Taib berkata, kesemua suspek warga tempatan yang ditahan juga mempunyai rekod lampau bersabit kes dadah selain disahkan positif dadah jenis Methamphetamine ketika serbuan dibuat.


“Kita percaya masih terdapat ahli kumpulan yang terlibat dengan sindiket ini dan polis akan menjalankan siasatan lebih terperinci untuk mengesan mereka.


“Beberapa barang kes seperti telefon bimbit dan wang tunai bernilai RM1,000 turut dirampas dalam serbuan tersebut,” katanya.


Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman gamtung sampai mati.

 


Source: SH Semasa

[featured-video-plus]