Segitiga emas kini pengeluar terbesar dadah sintetik

in Global by


BANGKOK – THAILAND. Kawasan Segitiga Emas yang dahulunya terkenal sebagai pengeluar heroin dan marijuana, namun sejak beberapa tahun ini ia telah mempelbagai pengeluarannya dengan menjadi antara pengeluar terbesar dadah sintetik dunia.


Daripada Yaba (pil gila) hingga Crystal Methaphetamine atau Ice, makmal dadah di wilayah autonomi Shan State atau jauh ke pedalaman hutan Laos boleh menghasilkan ribuan kilogram dadah dalam satu pusingan bagi pasaran di Asia Tenggara dan lainnya.


Usaha membanteras makmal dadah ini dan pengendalinya bukan mudah kerana sindiket Segitiga Emas menjalankan operasi mereka secara tertutup dan amat berahsia tidak seperti sepupu mereka di Amerika Latin dan Tengah.


“Di sini, kami tidak mempunyai nama dan wajah, tetapi saya boleh kata mereka (anggota sindiket) boleh berada di lima atau enam buah negara pada satu masa,” kata Wakil Serantau Pejabat Pertubuhan Bangsa Bersatu bagi Dadah dan Jenayah (UNODC), Jeremy Douglas dalam satu forum di sini baru-baru ini.


Minggu lalu, pihak berkuasa Thailand merampas 508 kg Ice bernilai 1 bilion Baht (RM125 juta) daripada sebuah pikap yang ditinggalkan di Nakhon Ratchasima yang pihak penyiasat percaya dadah itu akan dibawa keluar ke selatan Thailand dan Malaysia.


Rampasan ratusan kilogram Methaphetamine menjadi kebiasaan di Thailand sejak beberapa tahun lalu yang menyaksikan semakin ramai orang menjadi ketagih dengan dadah  itu dan sekali gus menyebabkan harganya  meningkat.


Di Myanmar, pihak berkuasa pada Ogos lalu merampas 30 juta pil


Methaphetamine dan 8 kg heroin setelah menyerbu sebuah makmal di Tachileik di Shan State yang terletak berhampiran wilayah utara Thailand, Mae Sot.


Rampasan dibuat sebelum sempat dadah itu dibawa masuk ke Thailand.


Oleh kerana Methaphetamine telah menggantikan candu, maka ekonomi dadah di Segitiga Emas turut berubah.


Menurut Douglas, dadah yang dihasilkan di makmal Segitiga turut dieksport ke negara seperti Australia, Jepun, New Zealand yang harganya boleh mencapai 10 kali ganda.


Keuntungan daripada ekonomi dadah adalah lumayan dan boleh membiayai pelbagai aktiviti, katanya.


“Kami menganggarkan pada sebarang tahun, generasi duit daripada (perdagangan) Methaphetamine ialah antara  US$30-US$35 bilion setahun di rantau ini. Ini lebih besar daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) beberapa negara di rantau ini,” katanya.


Beliau berkata jenayah terancang yang berselindung di sebalik perniagaan dadah ini sentiasa berada selangkah di hadapan pihak berkuasa dan memberi cabaran besar untuk menanganinya. – Bernama


Source: SH Global

[featured-video-plus]