Selamat selepas hampir 2 jam bertarung nyawa

in Edisi Terengganu by


KUALA TERENGGANU – Setelah hampir dua jam bertarung nyawa dilambung ombak  setinggi lima meter, dua nelayan akhirnya berjaya diselamatkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim), kira-kira empat batu nautika dari Pulau Kapas, di sini, malam tadi.


Pengarah Maritim Daerah Maritim 9 (DM9) Kepten Maritim Rahim Ramli berkata, Pusat Operasi DM9 (PUSOP) menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 6.45 petang semalam daripada seorang mangsa sebelum sebuah Bot Maritim digerakkan ke lokasi.


Menurutnya, meskipun jarak kedudukan bot fiber dinaiki Syed Zamri Syed Ali, 36, dari Chendering, di sini, dan Ahmad Fadhil Mat Rani, 35, dari Panji Alam, di sini, hanya kira-kira lapan batu nautika dari muka kuala, namun pihaknya terpaksa mengambil masa kira-kira dua jam ke lokasi disebabkan cuaca buruk.


“Selain terpaksa berdepan keadaan laut yang bergelora, Bot Maritim turut sukar menjejaki kedudukan mangsa kerana keadaan terlalu gelap memandangkan mereka tidak membawa sebarang lampu kecemasan.


“Bagaimanapun, dalam keadaan yang hanya bergantung pada sedikit cahaya daripada telefon mudah alih diisyaratkan mangsa, Bot Maritim berjaya menemui bot mangsa kira-kira jam 8.35 malam sebelum ditunda dan selamat tiba di Jeti DM9 APMM Terengganu, kira-kira jam 10.15 malam,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.


Sementara itu, Rahim mengingatkan kepada semua masyarakat umum terutama komuniti laut agar dapat bekerjasama dengan menyalurkan maklumat dalam menangani isu jenayah maritim serta keselamatan di laut.


“Rondaan dan pemantauan di sempadan perairan negara dari semasa ke semasa untuk mencegah sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang maritim akan dipergiatkan, justeru kerjasama daripada masyarakat untuk menyalurkan maklumat amat dialukan dengan berhubung terus melalui talian MERS 999 atau 09-6224357 Pusat Operasi (PUSOP) DM9 Terengganu,” katanya.


 




 


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]