Selangor kecewa taktik bertahan Pulau Pinang

in Sukan by


IBARAT meletakkan bas di depan gol, Pulau Pinang berjaya mengekang Selangor 0-0 semalam namun taktik itu tidak selama-lamanya mampu dipertahankan apabila tiba separuh akhir kedua bola sepak Piala Emas Raja-raja Ke-77, Ahad ini.


Aksi separuh akhir pertama di Stadium Mini Sungai Besar, Sabak Bernam kelmarin sudah banyak mematangkan barisan bimbingan Azhar Shariff ini untuk kembali menyerang Pulau Pinang habis-habisan di Stadium Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang pula.


“lawan pun tidak begitu berbahaya apabila menyerang balas, selebihnya mereka lebih banyak berkampung di kawasan sendiri.


“Saya akui memang sukar untuk menembusi pasukan yang mengamalkan taktik begini. Misi mereka berjaya kali ini tetapi di Pulau Pinang nanti, kami akan serang balik habis-habisan. Itu sahaja pilihan kami,” kata bekas penyerang negara era 80-an ini.


Peraturan gol tempat lawan juga bakal memberikan sedikit kelebihan kepada Selangor dalam misi mara ke perlawanan akhir Piala Emas Raja-raja yang kali terakhir hanya dikecapinya pada 2003.


Menurut Azhar, pasukannya sempat beroleh antara dua hingga tiga peluang keemasan pada minit-minit terakhir permainan untuk menjaringkan gol tetapi masih buntu dengan tindakan penyudah mereka.


“Percubaan gol dari jarak jauh kami pun masih dikekang dengan baik oleh penjaga gol Pulau Pinang (Amir Omar Khata),” katanya, merujuk aksi di hadapan 4,000 penyokong setia Merah Kuning itu.


Sementara itu jurulatih Kelantan, Kamaruddin Muhamad tidak menafikan tuah turut memainkan peranan kemenangan 2-0 terhadap Kuala Lumpur dalam satu lagi separuh akhir pertama di Stadium Universiti Putra Malaysia, Serdang, kelmarin.


“Kami gagal bermain dengan tahap sebenar dan terbaik kami. Tuan rumah sebenarnya lebih baik tetapi hanya kurang bertuah. Kami kena perbaiki mutu permainan dalam separuh akhir kedua di Kota Bharu (Stadium Sultan Muhammad IV, Sabtu ini).


“Mendahului dua gol (dari tempat lawan) hanya berikan sedikit kelebihan kepada Kelantan. Pasukan saya kena hati-hati sebab tidak mustahil Kuala Lumpur boleh kejar balik dan menang 3-0 untuk menghampakan kami,” katanya.


Kelantan mendahului menerusi Mohamad Fikram Mohamad pada minit ke-20 sebelum Mohamad Azwan Nasyriq yang terjaring gol sendiri menghukum Kuala Lumpur kembali ketika cuba menyekat rembatan Wan Alif Jasmi, seminit sebelum tamat.


Jurulatih Kuala Lumpur, Zulkifli Samion turut mengakui nasib tidak berpihak kepada tuan rumah namun menjanjikan kebangkitan anak-anak buahnya seperti mana lawan yang mampu menyambar dua gol untuk kemenangan mengejut itu.


Source: SH Sukan

[featured-video-plus]