Usahawan muda miliki produk jenama sendiri

in Bisnes by


MESKIPUN berdepan pelbagai cabaran dan rintangan, pemuda ini tidak pernah berputus asa dan sentiasa bersemangat meneruskan usahanya cipta kejayaan dalam perniagaan.


Mohd Nur Fahmi Mohd Nasir, 30, berkata, dia mula berniaga sejak di bangku sekolah lagi dengan membantu orang tuanya berniaga putu mayam di pasar.


Sebaik tamat sekolah, dia menyambung pelajaran di Politeknik dalam jurusan Diploma Kejuruteraan Mekanikal (Pembuatan).


Selepas berjaya menggenggam segulung diploma pada tahun 2007, anak sulung dari empat beradik ini memohon pekerjaan di kilang ternama sekitar Kawasan Perindustrian Kulim Hi Tech.


“Niat saya itu dihalang oleh ayah sebab dia lebih suka saya berniaga sendiri. Mula tu ayah suruh saya ambil alih perniagaan putu mayam tapi saya tak berminat kerana lokasi pasar tidak tetap.


“Waktu tu saya mula buntu, saya bincang dengan ayah dan akhirnya dia setuju berikan RM100 sebagai modal berniaga,” katanya.


Mohd Nur Fahmi berkata, bermodalkan RM100 dia agak runsing mencari barang untuk diniagakan kerana modal kecil.


“Saya pergi Pasaraya Sentosa di Alor Setar dan saya cari barang yang boleh diniagakan, saya beli perkakasan telefon pada harga borong dan menjual di merata tempat. Lokasi pertama saya jual ialah di pasar malam Tandop,” katanya.


Hanya dalam  masa singkat, dia beroleh pulangan modal RM100 kerana berjaya menjual aksesori telefon sebanyak 10 unit.


Ini mendorong dirinya mencari idea lebih kreatif, iaitu dengan membawa kesemua barangan dengan motosikal dan meletakkannya di kedai telekomunikasi sekitar Alor Setar.


“Bila letak banyak barang, sampai ke satu tahap, pemilik kedai tidak mahu lagi jual barang saya sebab ambil ruang kedai mereka. Saya ambil semula barang dan sewa kedai kecil di Bukit Besar pada tahun 2010.


“Dengan sewa bulanan RM120 saya mula menapak dan perniagaan saya semakin maju kerana pada ketika itu, hanya kedai saya sahaja yang mempunyai perkhidmatan barangan telekomunikasi,” katanya.


Tambahnya, di situ jugalah dia bertemu jodoh dengan isterinya, Salmiah Baharudin, 28, yang merupakan seorang guru dan berkhidmat di Subang, Selangor.


Kedai dipecah masuk


Namun pada tahun 2011, sekali lagi Mohd Nur Fahmi diuji apabila kedainya di pecah masuk dan kesemua komputer dicuri selain mesin fotokopi miliknya dirosakkan.


“Saya tak putus asa, saya ke Bangi dan bekerja menjual kuih di pasar malam bersama bapa saudara. Dengan gaji sehari RM25, saya menabung dan berusaha membayar semula ganti rugi pelanggan yang telefon mereka dicuri ketika kedai saya dipecah masuk,” katanya.


Selepas empat bulan di Bangi, dia berjaya membayar kesemua ganti rugi pelanggan dan pulang semula ke kampung.


“Saya sewa kedai dan beli komputer 10 unit, enam bulan pertama tak ada seorang pun pelanggan masuk ke kedai saya malah dua buah kereta dan dua motosikal milik saya yang di parkir di hadapan kedai turut hilang. Saya hanya mampu memujuk hati untuk bersabar kerana banyak sangat dugaan,” katanya.


Mohd Nur Fahmi akhirnya membuat keputusan tutup kedai dan sewa rumah di Guar Chempedak pada harga RM500.


“Walaupun ketika itu belum berkahwin, saya suka berdikari dan duduk berasingan dari keluarga. Di rumah itu, saya buat perniagaan atas talian dengan menjual produk orang. Macam-macam saya jual, paling laku adalah produk kopi,” katanya.


Hasil jenama kopi sendiri


Melihat kepada potensi pasaran dan sambutan produk kopi begitu tinggi, Mohd Nur Fahmi menggunakan wang simpanan untuk menghasilkan produk kopi dengan jenama sendiri, Kopi Longhorn pada tahun 2016.


“Saya hanya jual kopi ini ke luar negara sahaja seperti Jepun, India, Nigeria, Bosnia, Arab Saudi, Cina, Taiwan, dan  sekarang dalam proses memasuki Manila. Saya cari rakan di Facebook dan jemput mereka datang minum kopi bersama saya di Malaysia dan kebanyakan menyukainya,” katanya.


Menurutnya, di sini hanya satu lokasi jual produk ini, iaitu di GM Klang kerana syarikatnya fokus pasaran luar negara.


“Alhamdulillah sehingga kini hampir 15,000 unit terjual setiap bulan,” katanya.


Terkini, Mohd Nur Fahmi menghasilkan kopi jenama Amran untuk pasaran Malaysia serta kopi jenama Secret Woman yang di formulasikan oleh adiknya.


Adiknya, Izzah Syazwany Mohd Nasir, 27 orang kanan yang banyak membantu dari aspek produksi.


“Adik banyak membantu dalam aspek produksi di Yan manakala saya sibuk dengan pemasaran. Ada pelanggan dari Taiwan sanggup datang untuk minum kopi sejam dan balik semula ke negara mereka,” katanya yang memiliki kilang sendiri di Batu 18, Yan, Kedah.


Menurutnya, pelbagai teknik pemasaran dilakukan antaranya, memasuki pasaran syarikat besar sebagai penaja produk kopi dan ada kalangan mereka menyukainya dan terus membeli dalam kuantiti banyak.


Source: SH Bisnes

[featured-video-plus]