Wanita cedera dibelasah suami

in Edisi Terengganu by


KUALA TERENGGANU- Akibat berselisih faham, seorang wanita teruk dibelasah suaminya sehingga cedera dalam kejadian di Manir, Rabu lalu.


Kejadian berlaku kira-kira jam 7.30 malam ketika mangsa yang berusia 25 tahun, dipercayai sedang menyiapkan kerja-kerja rumah sebelum dikejutkan dengan kepulangan suaminya itu yang berusia 29 tahun dalam keadaan marah.


Menurut sumber, mangsa dimaki hamun tanpa sebab sebelum berlaku pertengkaran mulut di antara pasangan terbabit.


“Situasi itu berlarutan sehingga suaminya mengamuk dengan menampar pipi kanan mangsa sebanyak dua kali.


“Bagaimanapun, suaminya yang masih tidak berpuas hati menyepak belakang badan mangsa, sebelum sekali lagi berlaku pergelutan di antara mereka kerana mangsa ingin melarikan diri,” katanya.


Sumber berkata, cubaan mangsa melarikan diri meskipun terpaksa menahan kesakitan berjaya, sebelum ke rumah jirannya untuk menyelamatkan diri dan mendapatkan bantuan.


Susulan kejadian, mangsa mengalami bengkak di pipi kanan dan sakit di seluruh badan akibat dipukul serta ditumbuk suspek.


Jelasnya, mangsa kemudiannya membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya kerana bimbang akan keselamatan dirinya.


Sementara itu, Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret, Roszita Md Saad kelmarin, membenarkan suspek ditahan reman selama empat hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dan 18 Akta Keganasan Rumahtangga.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]