Warga asing disaran ambil lesen memandu

in Edisi Utara by


ALOR SETAR – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah menyarankan warganegara asing yang bekerja atau belajar di negeri ini supaya memohon lesen memandu Malaysia.


Pengarahnya, Isma Suhaimi Shariff  berkata, dengan adanya lesen memandu yang sah itu, ia akan memudahkan rakyat asing itu untuk menjalankan urusan seharian mereka selain JPJ tidak perlu lagi mendapatkan apa-apa dokumen daripada pihak kedutaan apabila operasi penguatkuasaan dilaksanakan.


“Kita mempunyai ramai warga asing dan sebilangan besar pelajar luar negara yang belajar di Universiti Utara Malaysia (UUM), Kolej Universiti Insaniah dan pelbagai universiti swasta lain…sebab tak semua lesen warga asing boleh digunakan di negara ini kecuali lesen memandu antarabangsa.


Apabila dia dah memohon lesen Malaysia mudahlah kita pantau…sebab apabila penguatkuasaan dibuat kita tak perlu lagi pelbagai dokuman daripada kedutaan mereka untuk membuktikan lesen mereka itu sah atau tidak,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan lesen memandu kepada pemain import Kedah, Sandro Da Silva Mendonca di pejabat JPJ Kedah di sini, hari ini.


Sandro, pemain imprt dari Brazil itu menjalani kursus memandu di Institut Memandu (IM) Ilmu Baru di Mergong dua bulan lepas dan diberi lesen P selama tempoh dua tahun.


Katanya, warganegara asing yang mendaftar untuk memiliki lesen negara ini akan mengikuti prosedur biasa seperti menjalani kelas memandu selama 21 jam dan tertakluk kepada undang-undang lalu lintas di negara ini.


“Bagi saya Sandro boleh dijadikan ikon, sebab  walaupun sibuk sebagai pemain bola sepak profesional, beliau dapat mengambil  lesen memandu dan ini perlu dicontohi dan menjadi ikon kepada warganegara asing yang lain,” katanya.


Sementara itu, Sandro mengucapkan terima kasih kepada pihak JPJ yang banyak membantu beliau selama menjalani latihan memandu.


Dalam pada itu, Isma Suhaimi berkata,  Program myLESEN yang diperkenalkan kerajaan berjaya membantu rakyat berpendapatan rendah mendapatkan lesen pada harga murah dan mudah.


Katanya, sehingga kini hampir 10,000 penduduk Kedah telah menjalani ujian memandu menerusi program itu daripada 20,000 orang yang mendaftar di negeri ini.


Program myLESEN diperkenalkan oleh Kementerian Pengangkutan pada Okt 2015 bagi meringankan beban rakyat berpendapatan rendah mengambil lesen.- Bernama

 


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]