338 buah rumah rosak akibat ribut

in Edisi Terengganu by


MARANG – Sebanyak 338 buah rumah di 21 buah kampung dalam kawasan Dun Alur Limbat melibatkan daerah Kuala Terengganu dan Marang mengalami kerosakan selepas dilanda ribut, petang semalam.


Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, kerajaan negeri akan mengambil tindakan segera membantu mangsa terbabit menerusi saluran yang ada.


“Soal bencana dihadapi ini, kita memang akan menyediakan peruntukan. Tiada peruntukan khas namun kita akan ambil menerusi saluran peruntukan yang ada untuk kita diselesaikan.


“Keutamaan kita ialah untuk menyelesaikan permasalahan rakyat. Itu keutamaan kita. Jadi, tiada masalah, InsyaALLAH, kita akan selesaikan,” katanya selepas melawat mangsa ribut di Pusu Tiga di sini, hari ini.


Menteri Besar berkata, beliau telah memberikan arahan kepada pihak berkaitan agar jangan tunggu dari segi menyalurkan bantuan kepada mangsa bencana berkenaan.


“Yang perlu diperbaiki, segerakan perbaiki dan paling elok sekali jika kita dapat buat secara bergotong royong, lagi bagus.


“Sebab yang mustahak sekarang ini dengan bencana yang dihadapi ini kita kena ingat yang ini bukan yang kena sahaja.


“Ujian ini pada semua orang. Kita yang tak kena ini pun perlu melibatkan diri membantu mereka, jadi kita cuba guna konsep macam tadi (gotong royong).


“Rasanya tiada masalah (sebab) saya sudah beritahu kepada yang berhormat (Adun Alor Limbat) dengan pegawai penyelaras kita buat secara bersama. Barang barang kita hantar, lepas itu kita pakat gotong royong,” katanya.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif ketika melawat ke rumah mangsa


Ketika ditanya jumlah mangsa dan kerosakan di seluruh negeri, beliau berkata, pihaknya masih belum mendapat maklumat kecuali di kawasan Dun Alur Limbat, melibatkan daerah Kuala Terengganu dan Marang.


Antara kampung terbabit dalam kejadian itu di daerah Kuala Terengganu ialah Kampung Gelugor Kedai (44 buah), Kubang Durian (15), Baram Sungai PinangĀ  (13), Padang Midin (55) dan Kubang Kepong (20).


Turut terbabit, Banggol Tokku (8), Banggol Katong (10), Banggol Lalang (2), Kampung Baru (1), Tok Badir (3), Pengkalan Setar (15), Kubang Panjang (40) dan Pengadang Baru (29).


Manakala bagi daerah Marang pula melibatkan Kampung Telaga mengkudu (30), Banggol Kapas (8), Tasek (3), Banggol Pak Ali (1), Pusu Tiga (23), Bukit Cerana (6) dan Wakaf Dua (12).


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]