Klopp naik angin prestasi The Reds

in Sukan by


“JANGAN bermimpi mahu merebut kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini kalau begini keputusannya yang diraih,”  demikian pengakuan pengendali Liverpool, Jurgen Klopp selepas The Reds terus mempamerkan permulaan buruk musim ini dengan kekalahan 1-4 di tangan Tottenham Hotspur di Wembley, awal pagi tadi.


Kekalahan itu menyaksikan Liverpool telah bolos 16 gol dalam sembilan perlawanan — rekod pertahanan terburuk mereka pada peringkat ini sejak 1964 sekaligus mendorong Klopp mengeluarkan kata-kata pedas.


Klopp yang sudah mula bosan dengan persembahan longlai pemainnya berkata jangan harap untuk dapat mengejar pasukan lain jika skuad bimbingannya gagal mengubah persembahan mereka.


“Tidak payah cakap tentang kelompok empat teratas sekarang. Kami di tangga kesembilan. Ia rekod terburuk sejak 1964.


“Sukar untuk mempercayainya tapi kami memang layak berada di situ,” kata pengendali dari Jerman itu selepas menyedari Liverpool kini ketinggalan 12 mata di belakang pendahulu, Manchester City.


Harry Kane menjaringkan dua gol, selain Son Heung-min dan Dele Alli masing-masing menyumbat satu gol untuk menghukum pertahanan dan penjaga gawang The Reds, Simon Mignolet.


Klopp merayu agar barisan pertahanannya dapat memperbaiki segera kelemahan supaya tidak terus dibolosi pada perlawanan akan datang.


“Anda tidak boleh meraih keputusan seperti ini menentang Tottenham. Saya tidak mahu mengatakan apa-apa yang positif tentang kami.


“Tetapi apabila kami melakukan kesilapan, kami perlu perbaiki, terlalu mudah untuk Tottenham, terlalu mudah,” ujarnya lagi.


Source: SH Sukan

[featured-video-plus]