Mayat terakhir berjaya dibawa keluar

in Semasa by


GEORGETOWN – Mayat terakhir tragedi tanah runtuh di Lengkok Lembah Permai dibawa keluar kira-kira jam 11.18 pagi tadi.


Mayat Yuen Kuok Wern, warganegara tempatan dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk bedah siasat.


Setiausaha Kerajaan Pulau Pinang (SUK), Datuk Seri Farizan Darus berkata, mayat ditemui dalam keadaan baik dan sesi pengecaman oleh ahli keluarga telah dibuat di tempat kejadian.


“Dengan penemuan mayat terakhir ini, operasi mencari dan menyelamat dikira tamat namun kerja flushing (pemeriksaan akhir) di tempat runtuhan yang berkeluasan 16,000 kaki persegi akan dijalankan bagi memastikan tiada mangsa lain.


“Kerja flushing ini dianggarkan mengambil masa sejam dengan menggunakan anjing pengesan dari Unit K9 Jabatan Bomba dan Penyelamat,” katanya ketika ditemui tadi.


ARTIKEL BERKAITAN: Tanah runtuh dua mayat lagi ditemui


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Anuar Omar mengesahkan, polis sudah mengambil keterangan daripada salah seorang mangsa yang terselamat.


Menurutnya, ketiga-tiga mangsa yang terselamat itu kini berada di Ibupejabat Polis Daerah Timur Laut (IPDTL) untuk diambil keterangan.


“Kita baru ambil keterangan dari mangsa warganegara Myanmar yang bernama Gearsudin Sodul Haq.


“Proses mengambil keterangan masih dijalankan dari dua mangsa yang tidak mengalami kecederaan iaitu Mohammad Josim Rahman (Bangladesh) dan Roni Fasla (Indonesia),” katanya.

 


Source: SH Semasa

[featured-video-plus]