Mercu tanda baharu Kluang

in Edisi by


KLUANG – Majlis Perbandaran Kluang (MPK) memperuntukkan kira-kira RM200,000 untuk menaik taraf bulatan di Jalan Besar – Yap Tau Sah, di sini.


Timbalan Ketua Whips MPK, Chin Sim Lai berkata, kerja-kerja naik taraf itu sudah bermula sejak September lalu.


Menurutnya, projek tersebut adalah hasil idea daripada Yang Dipertua (YDP) MPK, Nasri Md Ali bagi menceriakan kawasan bulatan berkenaan untuk dijadikan sebagai satu mercu tanda daerah ini.


“Di Kluang, kita mempunyai tiga bulatan iaitu bulatan di Jalan Batu Pahat, bulatan di Jalan Mersing dan bulatan di Jalan Besar. Dua daripada bulatan ini telah dinaik taraf dengan pembinaan gerbang Mahkota dan mercu tanda Kluang.


“Jadi tinggal satu sahaja bulatan yang perlu dinaik taraf dan setiap satu bulatan di Kluang ini mempunyai sejarahnya tersendiri. YDP MPK bercadang untuk menjadikan bulatan di Jalan Besar satu bulatan yang ceria dan boleh menarik pelancong luar datang ke Kluang,” katanya kepada Sinar Harian.


Sim Lai berkata, bulatan di jalan berkenaan akan dipasang dengan lampu, dihiasi pokok-pokok selain membina semula sistem longkang di kawasan tersebut.


Katanya, projek naik taraf itu juga bakal menyelesaikan masalah banji kilat di kawasan berhampiran apabila longkang bawah tanah dibina.


“Fasa pertama pihak MPK akan menaik taraf bulatan terlebih dahulu dan diikuti dengan beberapa projek yang akan menyusul dalam masa terdekat.


“Dalam pada itu, di keliling bulatan tersebut akan dibina dinding konkrit seperti mana di bulatan Jalan Mersing bagi mengelakkan kemalangan,” katanya.


Tambahnya, pihak MPK juga akan menaik taraf simpang empat di kawasan sebelum bulatan selain melebarkan jalan untuk membina ruang bagi pejalan kaki.


Sehubungan itu, beliau berharap masyarakat setempat dapat memberi sokongan dan membantu pihak MPK dalam menceriakan kawasan di sekitar Jalan Besar.


Dalam masa sama katanya, pihak MPK akan berusaha menyelesaikan masalah banjir kilat di kawasan rendah dengan terbinanya longkang bawah tanah yang akan mengalirkan air terus ke Sungai Mengkibol.


“Pada masa ini longkang sedia ada tidak dapat menampung jumlah air sekiranya hujan lebat berlaku menyebabkan air melimpah khususnya dari kawasan tinggi ke  kawasan rendah dan seterusnya berlaku banjir kilat.


“Diharap projek yang akan dilaksanakan MPK itu dapat menyelesaikan pelbagai masalah di samping dapat menceriakan kawasan Jalan Yap Tau Sah,” katanya.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]