MPN sokong cadangan KJ

in Nasional by


SHAH ALAM – Majlis Profesor Negara (MPN) menyokong cadangan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin agar Bajet 2018 dapat mengangkat satu agenda sosial bagi membangunkan modal insan kelas pertama.


Ketua Kluster Perubatan dan Sains Kesihatan MPN, Prof Tan Sri Dr Mohd Amin Jalaludin berkata, cadangan Khairy satu tindakan tepat yang secara langsung dapat membendung gejala sosial khususnya buli dalam kalangan pelajar sekolah dan institut pengajian tinggi (IPT) di negara ini.


“Saranan (Khairy) itu bagus dan kami sokong kerana jika tidak ambil perhatian serius dalam hal ini khususnya buli, ia akan berlarutan sehingga merosakkan pewaris masa depan negara kita.


“Buli jika tidak dibendung akan berlarutan sehingga berlakunya gejala gangterism,” katanya ketika sidang media selepas Bengkel Pra Kongres Menangani Buli di Sekolah dan IPT Malaysia, semalam.


Sebelum ini, Khairy dalam tulisannya berharap agar Bajet 2018 dapat mengangkat satu agenda sosial secara menyeluruh untuk membangunkan modal insan kelas pertama.


Khairy berkata, perkara itu adalah satu lagi agenda yang perlu diberi penekanan khusus merentasi kementerian memandangkan modal insan bukanlah hanya terhad kepada aspek pendidikan dan latihan sahaja namun turut membabitkan pembentukan akhlak, nilai sahsiah dan keperibadian.


Menurut Mohd Amin, isu-isu melibatkan gejala sosial tidak hanya boleh dikendalikan oleh satu agensi malah perlu melibatkan semua peringkat dan kementerian.


“Kalau kita dapat membentuk generasi muda pada hari ini dengan baik, maka masyarakat dapat hidup dalam sebuah negara yang aman pada masa hadapan,” katanya.


Dalam pada itu, mengulas mengenai penganjuran program berkenaan, Mohd Amin berkata, ia merupakan salah satu daripada lima bengkel Pra Kongres yang dijalankan bersempena dengan Kongres Antarabangsa bagi Perubatan dan Sains Forensik pada 24-25 Oktober ini.


Beliau berkata, tujuan bengkel adalah bagi mengumpulkan pakar dari pelbagai bidang untuk membincangkan mengenai langkah dalam menangani permasalahan buli secara menyeluruh.


“Malah, bengkel pra kongres ini juga turut menyediakan platform perbincangan antara ibu-bapa, pendidik, pakar-pakar, cendekiawan serta pelbagai agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).


“Seramai lebih 300 orang peserta terlibat dalam pra kongres hari ini (semalam) dan mereka akan beri buah fikiran yang bernas agar kita boleh senaraikan resolusi-resolusi sepatutnya serta membuat policy brief untuk dibincangkan dengan peringkat lebih tinggi,” katanya.

 


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]