Peluang lebar sayap ke China

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Program Road to China membuka peluang buat usahawan tempatan melebarkan sayap menembusi pasaran global.


Ketua Pengarah Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda), Datuk Wan Ahmad Shabri Zainuddin Wan Mohamad  berkata, Road to China merupakan program jangka panjang antara Risda dan Mahiez Alliance Group (M) Berhad (MAG Berhad) bertujuan mengenal pasti dan memasarkan produk usahawan bawah Risda ke pasaran global khususnya China.


“Selain itu, program Road to China juga memberi peluang kepada usahawan mempromosi dan membuka pasaran ke China serta memasarkan produk halal tempatan secara besar-besaran di China, Rusia dan negara-negara laluan obor.


“Untuk permulaan, Mahiez menyediakan antara 200 ke 300 jaringan pengedaran dan pemasaran di beberapa wilayah China,” katanya.


Beliau berkata demikian selepas majlis menandatangani perjanjian persefahaman Risda, Kolej Universiti Agrosains Malaysia (Ucam) dan Mahiez yang disaksikan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Pusat Dagangan Dunia Putra, kelmarin.


Katanya, antara jaringan pengedaran dan pemasaran di wilayah China adalah di Fujian melalui pusat pameran Zon Dagangan Bebas Xiamen, wilayah Shandong di pusat pameran Zon Dagangan Bebas Qiandao, wilayah Shanghai melalui rangkaian peruncitan Hi House dan Jiangsu melalui pusat pemborong di Wuxi.


Mahiez juga bekerjasama dengan Ucam untuk bangunkan Halal Support and Information Centre di Zon Dagangan Bebas Xiamen.


“Ia termasuk persijilan halal, latihan dan seminar, audit halal serta perkhidmatan berkaitan industri halal seperti logistik dan gudang untuk seluruh negara China dan di sepanjang laluan negara obor, Mongolia dan Rusia.


“Melalui Road to China, kita akan wujudkan program pembangunan bagi usahawan bertujuan membangunkan produk ke pasaran eksport seperti kualiti produk, pembungkusan dan pelabelan serta ilmu persediaan eksport,” katanya.


Jelasnya, Road to China menyediakan platform membesarkan perniagaan melalui Pre-IPO bawah Global Halal SME Board.


“Di sini usahawan akan bertemu lebih 3,000 pelabur, pemborong dan pengilang yang bersedia menyuntik dana membesarkan perniagaan mereka,” katanya.

 


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]