Pemilik kerugian RM500,000

in Edisi Utara by


SUNGAI PETANI – Tidak menggunakan perkhidmatan pengawal keselamatan menyebabkan sebuah kedai emas di Jalan Dewa, Sungai Petani dirompak kali kedua tahun ini sehingga mencecah kerugian kira-kira RM500,000.


Kejadian dikatakan berlaku pada jam 5.15 petang di mana dua lelaki bersenjatakan pistol menaiki motosikal jenis Honda EX5 warna biru meluru masuk ke premis berkenaan.


Difahamkan, tiga pekerja berada di dalam kedai dan tiada pelanggan yang sedang berurus niaga semasa kejadian.


Dalam kejadian itu, suspek pertama dikatakan memakai topi keledar, berjaket hitam dan berseluar jeans gelap.


Manakala suspek kedua memakai topi keledar putih, jaket warna biru dan seluar jeans gelap.


Disebabkan tiada pengawal keselamatan, salah seorang suspek bertindak melompat ke dalam ruang meja pameran barang kemas dalam masa sama mengacukan pistol ke arah pekerja supaya mengikut arahan.


Suspek kemudian membuka laci kaunter pameran dengan menggunakan kunci sebelum mengaut empat dulang berisi emas dalam tempoh hanya dua minit.


Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Saifi Abdul Hamid berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.


Kerugian dianggarkan RM500,000 dan siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti identiti suspek selain meneliti rakaman kamera litar tertutup.


Premis yang sama pernah menjadi sasaran penjenayah apabila pernah dirompak Februari lalu.


Dalam kejadian pada jam 5 petang itu, empat lelaki bersenjatakan pistol dan bertopeng melarikan barang kemas bernilai kira-kira RM100,000.


Suspek yang memakai topi keledar dan penutup muka bertindak memecahkan meja pameran menggunakan tukul, sebelum melarikan diri menggunakan dua buah motosikal.


Polis tidak menolak kemungkinan bahawa kes rompakan didalangi kumpulan yang sama dengan kejadian sebelumnya.


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]