Polis tumpaskan aktiviti judi sabung ayam

in Semasa by


KUALA KANGSAR – Polis menumpaskan aktiviti perjudian sabung ayam dan tiga jenis judi lain ketika melakukan serbuan dalam sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Kolam di sini, petang semalam.


Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Ahmad Tarmizi Abd Haq berkata, mereka turut menahan 14 lelaki termasuk seorang warga Indonesia dalam serbuan itu.


“Polis juga merampas 12 ekor ayam sabung, wang tunai berjumlah RM10,800 berserta barangan lain yang dipercayai digunakan untuk tujuan berjudi.


“Berdasarkan barang rampasan, saya tidak merasakan ini adalah satu sindiket. Mereka sentiasa berpindah tempat, mencari ruang untuk berjudi. Biasanya, mereka pilih kawasan yang hampir dengan hutan,” katanya.


Beliau berkata kepada pemberita dalam sidang media di Kompleks Perumahan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar di sini, hari ini.


Katanya, semasa serbuan dilakukan, terdapat beberapa orang meloloskan diri ke kawasan hutan. Anggota mendapati terdapat empat jenis judi dimainkan di kawasan itu.


“Mereka lazimnya berjudi pada hujung minggu antara jam 2 petang hingga 6 petang dan lokasi mereka agak jauh dan tersembunyi dari orang awam,” katanya.


Tambah Ahmad Tarmizi, beliau berpendapat tiada sindiket terlibat dalam kes itu sebaliknya kegiatan itu dipercayai berpindah dari satu tempat ke tempat yang lain.


Source: SH Semasa

[featured-video-plus]