Serap skuad lelaki dalam Program Podium: KHM

in Sukan by


KONFEDERASI Hoki Malaysia (KHM) meminta agar Kementerian Belia dan Sukan dapat mempertimbangkan cadangan badan induk itu supaya skuad hoki lelaki negara diserapkan dalam Program Podium.


Presiden KHM, Datuk Seri Subahan Kamal berkata skuad kendalian Stephen Van Huizen itu sepatutnya diberikan tempat dalam program berkenaan kerana telah mencapai pelbagai kejayaan pada tahun ini, termasuk layak secara merit ke Piala Dunia 2018 di India, selain muncul naib juara Piala Asia 2017, semalam.


“Sepertimana pernah saya katakan sebelum ini, skuad hoki lelaki negara sepatutnya diletakkan dalam Program Podium, tetapi saya serahkan kepada budi bicara Menteri Belia dan Sukan (Khairy Jamaluddin) kerana beliau lebih arif dan tahu mana yang lebih penting.


“Tapi saya berharap, dengan kejayaan demi kejayaan yang dicapai ketika ini, saya merayu kepada Kementerian Belia dan Sukan untuk memberi peluang kepada skuad ini diserapkan dalam Program Podium dan kami berjanji tidak akan menghampakan,” katanya.


Subahan berkata demikian selepas menyambut kepulangan skuad berkenaan daripada Kejohanan Hoki Piala Asia 2017 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, dari Dhaka, Bangladesh.


Program Podium merupakan program persediaan khas untuk atlet elit negara yang diselia oleh Institut Sukan Negara (ISN) bertujuan membantu atlet berkenaan meraih kejayaan cemerlang pada temasya sukan antarabangsa seperti Sukan Asia dan Sukan Olimpik.


Dalam pada itu, Subahan berpuas hati dengan pencapaian naib juara yang dilakar skuad senior kebangsaan pada Piala Asia 2017, walaupun kalah 1-2 kepada India pada aksi final, semalam.


“Sejak bermulanya Piala Asia pada 1982, kita tidak pernah layak ke final, dan kejayaan naib juara ini amat bermakna.


“Saya yakin pemain mampu mencatat keputusan yang baik sekiranya mempunyai waktu rehat secukupnya,” kata  Subahan yang berharap Malaysia dapat meraih pingat emas pada Sukan Asia 2018 di Indonesia bagi melayakkan diri secara automatik ke Sukan Olimpik 2020 di Jepun.


Sementara itu, Van Huizen amat berpuas hati dengan prestasi anak buahnya pada saingan Piala Asia itu, malah ada pemain yang sanggup berkorban bagi mengharumkan nama negara pada kejohanan empat tahun sekali itu.


“Kita sangat gembira layak ke pentas akhir buat pertama kali sejak 1982 dan tahniah harus diberikan kepada pemain yang menampilkan prestasi terbaik pada kejohanan berkenaan.


“Banyak pihak tidak tahu ramai pemain mengalami kecederaan sebelum perlawanan akhir, namun mereka tetap mahu beraksi, dan saya tidak boleh meminta lebih daripada mereka,” kata Van Huizen bahawa  pemain akan diberi rehat sebelum menyertai pasukan masing-masing bagi menghadapi Kejohanan Hoki Piala  Razak di Ipoh, dari 5 hingga 15 Nov depan.


Berkongsi pandangan sama adalah kapten skuad kebangsaan, Mohd Sukri Abdul Mutalib yang memuji persembahan cemerlang dipamerkan rakan sepasukan pada saingan Piala Asia kali ini.


“Kita tahu walaupun pasukan kita bukan berada dalam kedudukan terbaik, tapi pemain muda yang baru diserapkan mempamerkan prestasi terbaik dan saya puji mereka.


“Saya berharap kita dapat teruskan kecemerlangan ini pada mana-mana kejohanan selepas ini,” katanya yang beraksi di posisi pertahanan.-Bernama


Source: SH Sukan

[featured-video-plus]