Tolak janji 'bulan bintang' pembangkang

in Edisi by


MARAN – Program pembangkang yang dilihat kerap dilakukan kebelakangan ini didakwa sebagai taktik meraih perhatian rakyat  semata-mata sempena  pilihan raya umum ke-14 (PRU14) akan datang.


Ketua Penerangan Pemuda Umno Bahagian Maran, Azizi Mohamed Soffie berkata, seperti sedia maklum bahang PRU14 semakin hangat dirasakan.


Menurutnya, semua parti yang akan bertanding sedang sibuk mengatur gerak kerja untuk menawan hati pengundi sebagai persiapan pada PRU14 nanti.


“Parti pembangkang telah mengadakan pelbagai program bagi menarik perhatian penduduk sekitar… baik orang muda dan juga warga tua. Program yang sangat baik jika kita lihat dari satu sudut, penganjuran sukan, ziarah rumah ke rumah melawat warga yang tidak sihat, ceramah dan hulurkan bantuan bagi ringankan beban.


“Tahniah dan syabas diucapkan…namun begitu ada persoalan yang berlegar di sebalik pelbagai program tersebut khasnya yang diadakan di Dun Kuala Sentul ini. Kenapa baru sekarang hendak mengadakan jelajah ini? Mudah saja jawapannya…sebab PRU14 kini semakin hampir,” katanya.


Bagaimanapun katanya, rakyat di Dun Kuala Sentul tidak mudah terpesona dengan segala janji manis walau bulan dan bintang sebagai ganjarannya.


“Kita tak terpedaya dengan mereka sedangkan kita telah pun merasai nikmat yang telah dibuktikan hampir dua penggal di bawah naungan BN yang diwakili Datuk Hajjah Shahaniza Shamsuddin sebagai Adun Kuala Sentul.


“Beliau mencurah bakti dan menjalankan tugas dengan sangat cemerlang dibuktikan lagi dengan pertambahan majoriti kemenangan pada PRU13 yang lalu.


“Saya yakin dan percaya pengundi di Dun Kuala Sentul tidak akan terpikat apa lagi memberi undi kepada parti lain pada PRU nanti,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]