Dua aktivis PPIM didakwa khianat, ceroboh stor kereta

in Semasa by


KAJANG – Pengarah Unit Tindakan Khas Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Muhamad Yusof Azmi dan Ketua Operasi Unit Tindakan Khas PPIM, Ali Salimin didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan melakukan khianat dan menceroboh sebuah stor kereta, Julai lepas.


Kedua-dua aktivis itu mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan ke atas mereka dibacakan di hadapan Majistret Nor Afidah Idris.


Bagi pertuduhan pertama, Muhamad Yusof yang lebih dikenali sebagai Yusof Azmi, 27, dan Ali yang dikenali sebagai Abang Ali, 50, didakwa dengan niat bersama telah bersubahat melakukan perbuatan khianat dengan memotong kunci pagar Stor Syarikat AGR Auto Trade Sdn Bhd yang mana kesalahan tersebut telah dilakukan hasil daripada persubahatan bersama.


Muhamad Yusof yang memakai baju kurta berwarna hitam dan Ali yang memakai baju Melayu hijau dituduh melakukan kesalahan itu di Stor Syarikat AGR Auto Trade Sdn Bhd, Lot 1926A Sungai Sikamat, Jalan Cheras Batu 13, di sini pada 3.30 petang, 10 Julai lepas.


Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 109 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.


Kedua-dua mereka turut didakwa dengan niat bersama telah bersubahat melakukan pencerobohan jenayah antara 3.30 petang dan 7.30 malam, di tempat dan tarikh yang sama mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 109 kanun sama memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga bulan atau dengan denda maksimum RM3,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.


Timbalan Pendakwa Raya, Megat Mahathir Megat Tharih Afendi menawarkan wang jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh untuk kedua-dua pertuduhan.


Peguam Mohd Fadhly Yaacob yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon mahkamah mengurangkan jaminan atas alasan kedua-dua anak guamnya tiada sebab untuk melarikan diri kerana telah hadir menyerah diri ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang dan seterusnya ke Mahkamah Kajang untuk didakwa hari ini.


Peguam itu turut memberitahu kedua-dua anak guamnya merupakan penanggung tunggal keluarga iaitu Muhamad Yusof yang bekerja sebagai peniaga mempunyai enam anak manakala Ali yang merupakan seorang jurulatih gimnasium mempunyai seorang anak.


Nor Afidah membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan 24 Nov untuk sebutan semula kes.


Terdahulu, pada 7.30 pagi tadi Muhamad Yusof dan Ali menyerah diri di IPD Kajang untuk diambil keterangan dan dibawa ke Mahkamah Kajang untuk didakwa kira-kira pukul 9.30 pagi.


Kira-kira 150 penyokong PPIM hadir untuk mengikuti prosiding di mahkamah hari ini dan sejurus selepas pendakwaan selesai, kesemua penyokong membaca doa dan melaungkan “Takbir! Allahuakbar!”. – Bernama


Source: SH Semasa

[featured-video-plus]