Graduan universiti awam capai Bahasa Inggeris B2

in Nasional by


BANGI – Semua graduan universiti awam (UA) disasarkan mencapai tahap penguasaan Bahasa Inggeris B2 iaitu bertutur dengan fasih di bawah Common European Framework of Reference for Languages (CEFR) dalam tempoh tiga hingga empat tahun lagi, kata Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh.


Beliau optimis sasaran itu mampu dicapai menerusi pelaksanaan Malaysia English Assessment (MEA) yang selaras dengan CEFR sejak sesi akademik September lepas.


Katanya ketika ini kebanyakan graduan UA berada pada tahap B1 iaitu bercakap dengan perbendaharaan kata yang terhad.


“Di bawah CEFR terdapat enam tahap penguasaan iaitu A1 hanya boleh memperkenalkan diri sendiri, A2 boleh berkomunikasi secara ringkas, seterusnya B1, B2 serta yang advance adalah C1 boleh mengajar Bahasa Inggeris dan C2 native speaker (penutur asli).


“Kita mahu sekurang-kurangnya graduan UA boleh mencapai tahap B2 iaitu bertutur dengan fasih supaya mereka boleh berkomunikasi dengan baik,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan MEA di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di sini, hari ini.


Idris berkata, MEA yang akan diaplikasikan dalam kursus wajib Bahasa Inggeris di semua UA mempunyai dua komponen iaitu MEA 1 melalui pembelajaran formal dan MEA 2 pembelajaran tidak formal di luar kelas.


Bagi MEA 1, katanya, bank soalan dikenali Tempat Simpanan Ujian Bahasa Inggeris Pendidikan Tinggi  (HELTR) sedang dibangunkan untuk semua institusi pendidikan tinggi yang mengambil bahagian untuk menyimpan kertas peperiksaan Bahasa Inggeris mereka.


“Bank soalan ini akan menyediakan banyak bahan untuk pensyarah menyediakan kertas peperiksaan di masa depan.


“Kertas peperiksaan ini perlu mematuhi Spesifikasi dan Binaan Ujian MEA bagi Pentaksiran Formal untuk memastikan soalan-soalan itu selaras dengan CEFR,” katanya.


Beliau berkata, MEA 2 akan memerlukan penuntut menyiapkan tugasan dengan menggunakan bahasa yang betul dari konteks kebudayaan dan sosial berkaitan.


“Pentaksiran akan membabitkan enam teras iaitu aktiviti kurikulum tambahan dan kokurikulum;  kolaborasi antara disiplin; sumber-sumber dalam talian; pembabitan komuniti; kolaborasi industri-akademik dan pembabitan global,” katanya. – Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]