Guru pelengkap komponen ‘bina negara dan bina bangsa’

in Nasional by


TANJUNG MALIM – Para guru hendaklah melengkapkan pelajar dengan komponen ‘bina negara dan bina bangsa’ sepanjang 11 tahun mereka berada di bangku sekolah, titah Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim.


Baginda bertitah tanggungjawab tersebut diakui berat, tetapi ia satu keperluan demi memastikan rakyat di negara ini memahami erti sebuah negara dan tanggungjawab sebagai seorang warga.  


Tuanku Zara yang juga Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bertitah negara akan mudah terjajah melalui pelbagai cara apabila warganya tidak memahami sejarah dan tidak mengetahui peranan wajib mereka.


“Sekolah adalah taman didikan dan medan asuhan yang memberikan seluas peluang kepada para guru untuk melentur buluh pada usia rebung,” titah baginda pada Istiadat Konvokesyen ke-19 UPSI di Kampus Sultan Azlan Shah di sini, hari ini.


Seramai 5,182 graduan akan menerima diploma dan ijazah masing-masing sepanjang tiga hari istiadat yang bermula hari ini.


Tuanku Zara bertitah sebagai sebuah universiti yang bertanggungjawab melahirkan pendidik,  UPSI hendaklah berada di barisan utama dalam merintis pelbagai langkah melahirkan graduan yang bersedia di barisan hadapan serta memenuhi tanggungjawab membina negara dan bangsa.


“Graduan UPSI yang tersebar di serata sekolah akan dapat memberi sumbangan paling berkesan dalam usaha membina negara yang berdaulat dan membina bangsa yang bersatu padu.  


Graduan UPSI hendaklah terdiri daripada angkatan muda yang memahami prinsip-prinsip utama dalam Perlembagaan Negara, memiliki azam dan semangat untuk membina warga Malaysia yang bersatu padu serta berdisiplin, setia kepada tanah air di bawah payung naungan pemerintahan Raja,” titah baginda.


Tuanku Zara bertitah, UPSI adalah anak benih Sultan Idris Training College (SITC)  yang mana lulusannya berperanan penting dalam sejarah perjuangan kemerdekaan tanah air termasuk menyemai semangat kemerdekaan dan semangat nasionalisme dalam kalangan anak bangsa.


“Legasi dan identiti yang ditinggalkan oleh SITC, wajib terus dihidupkan oleh UPSI.


“Ini termasuk memenuhi peranan untuk menyemai semangat merdeka dan jiwa merdeka, serta melaksanakan program-program berunsur membina negara – membina bangsa,” titah Tuanku Zara.


Baginda turut menzahirkan ucapan tahniah kepada para graduan dan tokoh-tokoh yang terpilih untuk dianugerahkan ijazah kehormat serta gelaran Profesor Emeritus pada istiadat tersebut. – Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]