ICQS Bukit Kayu Hitam sedia beroperasi 20 jam

in Semasa by


ALOR SETAR – Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam kini dalam proses akhir kesiapsiagaan untuk beroperasi selama 20 jam, bermula 1 November ini.


Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, susulan lanjutan tempoh operasi di pintu sempadan dari 18 kepada 20 jam itu, pelbagai penambahbaikan dilakukan antaranya dengan penambahan 60 perjawatan baharu serta penggunaan sistem pendigitalan terbaik.


“Penambahan anggota dan pegawai adalah bagi memastikan kelancaran penggiliran tugas, terutama selepas beroperasi 24 jam kelak pada 1 Januari 2019. Sebagai permulaan, pintu sempadan dibuka sehingga 2.00 pagi dan ia juga memerlukan tambahan anggota bertugas,” katanya, pada sidang media, selepas majlis perhimpunan Setia Berjasa Zon Utara dan Majlis Ikrar Bebas Rasuah (IBR) Jabatan Imigresen Kedah.


Menurutnya, pertambahan perjawatan yang diberikan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) di ICQS Bukit Kayu Hitam itu belum mencapai keperluan sepenuhnya, namun sebagai permulaan memudahkan sistem penggiliran tugas dilakukan secara efisien.


“Kedah diberikan tambahan 60 perjawatan, kerana beberapa anggota tambahan juga diperlukan di lokasi lain. Secara keseluruhan, 264 petugas akan berkhidmat di ICQS,” katanya.


Mustafar berkata, selain penambahan anggota, pihaknya akan memastikan kompleks itu dilengkapi sistem pendigitalan terkini, antaranya penggunaan Biometrik.


“Kita tidak mahu nanti ada pihak yang tidak dibenarkan masuk dalam negara ini, cuba masuk secara tidak sah ke Malaysia. Kita akan pastikan semua lorong tikus diawasi serta menyasarkan sifar kesilapan,” katanya.


Menurutnya, kolaborasi penguatkuasaan bersama 15 agensi lain di Kompleks ICQS di pintu sempadan Malaysia-Thailand diyakini dapat dipertingkatkan.


“Kita akan pastikan aspek keselamatan terjamin dan dikuatkuasakan sepenuhnya tanpa kompromi,” katanya.


Source: SH Semasa

[featured-video-plus]