JAS tiada kuasa buat keputusan

in Edisi Utara by


GEORGETOWN – Jabatan Alam Sekitar (JAS) tidak mempunyai kuasa untuk membuat keputusan dalam permohonan kebenaran merancang sebaliknya kuasa itu diberikan kepada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).


Exco Kerajaan Tempatan, Chow Kon Yeow berkata, JAS hanya sebagai jabatan luar yang dijemput untuk memberi ulasan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pusat Sehenti (OSC) Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).


Menurutnya, mengikut Seksyen 19 Akta Perancang Bandar dan Desa, kuasa mengawal pembangunan dan memberi kebenaran pembangunan diberi kepada pihak berkuasa tempatan (PBT).


“Di Pulau Pinang, MBPP diberi kuasa sama ada meluluskan atau menolak mana permohonan merancang pembangunan.


“Dalam hal ini, JAS adalah salah satu jabatan luar yang tidak menyokong dalam ulasannya kerana tidak memenuhi syarat zon penampan yang ditetapkan. Namun, JAS bukan pihak berwajib yang diberi kuasa untuk membuat keputusan mengenai permohonan merancang,” katanya kepada media hari ini.


Semalam, Kerajaan Pulau Pinang mengakui bahawa JAS tidak menyokong terhadap pembinaan projek perumahan di lereng bukit di mana berlaku tragedi tanah runtuh Sabtu lalu.


Selain itu, Kon Yeow juga menyangkal kenyataan JAS bahawa jarak tapak projek tersebut dengan tapak kuari hanya 169 meter.


“Jarak antara tapak projek dengan kuari melebihi 500 meter iaitu 714.53 meter.


“Kenyataan JAS bahawa ia berdekatan dengan tapak kuari tidak betul,” katanya.


Sementara itu, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar ketika dihubungi berkata, kerajaan negeri mempunyai kuasa penuh dalam membuat keputusan berhubung tanah termasuk pemberian kelulusan dalam projek perumahan.


“JAS tidak mempunyai kuasa, hanya boleh beri ulasan, nasihat dan pandangan sahaja.


“Sepatutnya ulasan dan pandangan JAS diambil kira oleh kerajaan negeri,” katanya.


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]