JPJ nafi viral anjur Karnival Maal Hijrah

in Uncategorized by


KOTA BHARU – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan menafikan pihaknya menganjurkan dan mengalu-alukan kedatangan orang ramai untuk memperbaharui cukai jalan serta menyelesaikan urusan berkaitan di Karnival Maal Hijrah yang tular media sosial.


Pengarahnya, Mahasan Mustapa berkata, pihaknya menerima banyak panggilan telefon dan mesej menerusi WhatsApp dan Facebook bertanyakan pengesahan mengenai program tersebut yang dikatakan akan diadakan pada 27 Oktober ini.


“JPJ Kelantan menafikan perkara ini dan mahu memaklumkan bahawa kami tidak terlibat dalam penganjuran karnival berkenaan, malah kami sudah mendapat pengesahan daripada pihak Masjid Muhammadi.


“Pihak masjid juga iaitu Imam Masjid turut menafikan perkara ini dalam laman sosial kerana tiada sebarang usaha atau pengurusan dibuat, sedangkan maklumat mengenai perkara ini sudah tersebar secara meluas terutama di WhatsApp dan Facebook,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di pejabatnya, di sini hari ini.


Beberapa hari lalu, telah tular satu kenyataan ‘JPJ menawarkan ‘renew roadtax’ motosikal walaupun dah lima tahun mati, tanpa perlu bawa motor, tanpa Puspakom, cuma bawa geran. Boleh bayar saman dan mohon diskaun. Masjid Negeri = Masjid Muhammadi, KB’


Mahasan berkata, pihaknya menasihatkan supaya orang ramai supaya tidak mempercayai berita itu dan meminta mereka berhubung terus dengan pihaknya sekiranya mendapat maklumat seperti itu untuk pengesahan.


“Viral maklumat ini menyebabkan kakitangan JPJ negeri menerima banyak pertanyaan untuk mendapatkan pengesahan dari pihak kami,” katanya.


Sementara itu, Imam Masjid Muhammadi, Rosli Che Soh berkata, beliau turut menerima mesej yang tular menerusi WhatsApp, mengenai karnival itu.


“Saya tiada maklumat tentang perkara ini. Pihak masjid tidak menganjurkan Karnival Maal Hijrah pada tarikh tersebut,” katanya.


Source: SH Edisi Perak

[featured-video-plus]