Judi 'dragon' ancam keselamatan negara

in Nasional by


SHAH ALAM – Aktiviti haram termasuk keupayaan menguasai pihak penguat kuasa oleh sembilan ‘dragon’ sewajibnya dibenteras dan ditangani dengan tegas oleh pihak kerajaan kerana ia adalah masalah jenayah.


Ketua Pemuda Pas, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, kewujudan mereka boleh menggugat dan mengancam keselamatan negara serta keharmonian rakyat.


“Isunya bukan masalah kenakalan atau moral, tetapi jenayah berat yang boleh dilakukan oleh mereka.


“Jangan hingga nanti wujud kesangsian dari ketidakpercayaan awam bahawa kerajaan terlalu lemah, atau lebih jauh dari itu lahirnya skeptikal mengaitkan orang politik punyai kepentingan dan bersekongkol dengan kumpulan seperti itu. Ia akan menjadi situasi menakutkan bagi masyarakat dan penggera kecemasan mesti segera dibunyikan dan kerajaan wajib serta-merta menanganinya sebelum keadaan menjadi bertambah parah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.


Minggu lalu, Ketua Aktivis PPIM Datuk Nadzim Johan mendedahkan 9 ‘dra­gon’ mem­punyai ‘kuasa’ dalam agensi pe­nguat kuasa di negara ini yang turut mendakwa kegiatan tersebut wujud sejak bertahun lamanya.


Muhammad Khalil dalam masa sama turut mengakui berasa curiga dengan Kenyataan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed.


Beliau menyifatkan pengakuan Nur Jazlan itu mengejutkan dan penuh persoalan seolah-olah kerajaan memerhati perkara tersebut sekadarnya dan tidak mampu untuk menyelesaikan.


“Kenyataan Nur Jazlan yang menyebut kerajaan sentiasa memantau dan berusaha mengawal kegiatan mereka itu supaya tidak keterlaluan adalah terlalu naif dan mengundang kegusaran.


“Pengakuan beliau itu menunjukkan seolah-olah kegiatan itu dijaga dan dilindungi perkembangannya secara sambilan,” katanya lagi.


Sebelum ini, KDN meminta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tidak terlalu ghairah mendedahkan kegiatan kongsi gelap secara agresif yang dikhuatiri akan mengancam keselamatan diri.


Nur Jazlan menasihatkan NGO ini sekiranya mempunyai bukti berkaitan kegiatan itu disalurkan kepada polis atau dirinya untuk tindakan lanjut.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]