Jumlah pekerja asing berkurang kepada 1.72 juta

in Nasional by


ALOR SETAR – Kerajaan mempunyai ketetapan dan garis panduan dalam pengambilan pekerja asing dengan memastikan keutamaan diberikan kepada pekerja tempatan.


Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali menyangkal dakwaan yang tular, kononnya kerajaan meluluskan syarikat tempatan berorientasikan eksport untuk menggaji 100 peratus tenaga kerja asing di kilang mereka, seperti diuarkan pembangkang.


“Kenyataan itu disalah erti dan ditularkan pihak tertentu. Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed telah memperjelaskan, kerajaan ada ketetapan berhubung keperluan pekerja asing,” katanya.


Menurutnya, isu yang ditularkan itu adalah tidak tepat.


Berdasarkan kepada kenyataan Nur Jazlan, kerajaan sedia mempertimbangkan permohonan pengambilan 100 peratus pekerja asing dalam sektor pembuatan bagi memenuhi keperluan pengilang di bahagian pengeluaran produk, iaitu pekerjaan berkemahiran rendah, bukannya keseluruhan operasi kilang atau syarikat.


Bagaimana pun polisi ini terhad kepada pengilang sektor pembuatan yang mengeksport produk ke luar negara.


Mustafar berkata, setakat ini, pendaftaran pekerja asing merekodkan 1.72 juta orang, berbanding tahun lalu sebanyak 1.86 juta.


“Pengurangan ini adalah untuk pastikan pasaran warga tempatan diutamakan, pada masa sama mengurangkan pengambilan pekerja asing. Kita pastikan aspek keselamatan diutamakan, dalam perbincangan bersama agensi lain memutuskan, perkara ini perlu ditadbir urus secara baik,” katanya.


Menurutnya, selepas berakhirnya permohonan kad sementara atau ‘Enforcement Card’ (E-Kad) 30 Jun lalu, seramai 18,000 pendatang asing tanpa izin (Pati) ditahan manakala 400 majikan dikenakan tindakan.


“Kita tidak berkompromi dengan mana-mana pihak yang sentiasa mahu menggugat integriti Jabatan Imigresen, terutama dalam pengambilan pekerja asing. Semua kes dihadapkan ke mahkamah untuk hukuman dengan segera kerana kita tidak mahu depoh tahanan dilimpahi Pati,” katanya.


Terdahulu, Mustafar menyaksikan majlis Ikrar Bebas Rasuah (IBR) Jabatan Imigresen Kedah diwakili Pengarah Imigresen Kedah, Zuhair Jamaludin manakala Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diwakili Timbalan Pengarah SPRM Kedah, Soock Wee a/l Ei Tem.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]