KPDNKK tumpas aktiviti jual diesel tanpa lesen

in Edisi Sabah Sarawak by


LABUAN – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) bahagian Labuan menumpaskan aktiviti terbesar penjualan diesel tanpa lesen bernilai lebih RM254,000 di perairan Labuan hari ini.


Rampasan itu melibatkan 20,000 liter bahan api dan tongkang yang dinaiki tiga kru rakyat tempatan.


Ketua Unit Antara Agensi (Bahagian Penguatkuasaan) KPDNKK  Putrajaya  V. Ravichandran berkata rampasan itu dibuat dalam ‘Op Marintrade’ dari 9 pagi hingga 1 tengah hari ini.


“Operasi itu diadakan menerusi Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) bersama Polis Marin Labuan melibatkan 30 anggota daripada kedua-dua agensi penguat kuasa itu,” katanya pada sidang akhbar di Jeti Polis Marin Labuan di sini.


Beliau berkata pemilik kapal  didapati menjalankan jualan bahan api itu tanpa memiliki lesen runcit yang diperlukan mengikut Peraturan 3 (1) Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974 bagi pengedaran barang runcit kawalan berjadual iaitu diesel.


Ravichandran berkata siasatan akan dilakukan mengikut Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974 dan Akta Kawalan Bekalan 1961.


“Kami hanya merampas kapal manakala kru dibebaskan sehingga siasatan selesai,” katanya.


Beliau berkata ini merupakan rampasan ketiga yang dilakukan bagi tahun ini, dengan yang pertama pada Mei membabitkan bahan api bernilai RM167,918 dan rampasan kapal bernilai RM250,000.


”Satu lagi kes adalah  pada  Jun melibatkan lapan unit pelbagai jenis tangki gas bernilai RM1,584,” katanya. – Bernama


Source: SH Edisi Sabah Sarawak

[featured-video-plus]