Langkah diambil kerajaan tangani isu pelarian

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Kerajaan Malaysia dengan kerjasama pihak UNHCR telah mewujudkan pasukan tugas bersama sebagai langkah bagi menangani isu berkaitan pelarian termasuk etnik Rohingya.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata, pasukan yang diselaraskan Kementerian Dalam Negeri ini merangkumi pendidikan, kesihatan, sara hidup, penghantaran pulang, penempatan di negara ketiga dan semakan status pelarian.


Menurutnya, seterusnya melaksanakan projek perintis kebenaran bekerja untuk pemegang kad UNHCR oleh etnik Rohingya di sektor perkilangan dan perladangan dalam tempoh tiga tahun.


“Ini dapat memberi ruang untuk mereka menyara kehidupan sekali gus kekang mereka dari terlibat dengan aktivti jenayah dan sosial.


“Selain itu, kerjasama ini turut melaksanakan pendaftaran program maklumat biometrik bagi memastikan kita ada maklumat yang bertujuan sebagai pemantauan dan penguakuatkuasaan undang-undang,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini, bagi menjawab soalan Su Keong Siong (DAP-Ipoh Timur).


Beliau berkata, langkah seterusnya adakah menjalin kerjasama dengan kerajaan asing dalam bantuan kewangan untuk peningkatan kesihatan dan kemahiran pelarian Rohingya.


Katanya, kerjasama ini turut melihat aspek bantuan termasuk pemotongan harga cas hospital dan klinik kerajaan sebanyak 50 peratus berbanding warga asing lain selain membenarkan akses pendidikan di pusat pendidikan swasta terhadap pelarian pemegang kad UNHCR.


Tambah Shahidan lagi, sejak gelombang keganasan terbaharu pada 25 Ogos lalu, lebih 500,000 pelarian Rohingya telah melarikan diri ke Bangladesh untuk perlindungan.


Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa kad UNHCR yang dikeluarkan oleh pihak UNHCR bukanlah suatu dokumen perjalanan sah atau permit kerja, pasport atau juga lesen memandu untuk bekerja di Malaysia.


“Segala perbelanjaan mereka (pelarian) di sini ditanggung oleh pihak UNHCR termasuk penghantaran pelarian Rohingya bagi penempatan luar negara atau negara ketiga. Namun, atas dasar kemanusiaan, kerajaan membenarkan pelarian yang mendapat status perlindungan antarabangsa untuk tinggal sementara di Malaysia sebelum dihantar pulang.


Beliau turut mengesahkan kerajaan akan membina hospital sementara di Bangladesh untuk membantu pelarian Rohingya yang dizalimi.


Sementara itu, Shahidan turut menolak ada dakwaan wujudnya kumpulan pengganas Daesh yang memberi sejumlah wang dan bantuan makanan kepada pelarian.


“Mereka (pelarian Rohingya) tidak terlibat dan kita sentiasa memastikan tahap keselamatan negara dalam keadaan terbaik dengan langkah sewajarnya,” katanya.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]