Mangsa kemalangan bas pekerja selamat dikebumikan

in Edisi Utara by


BAGAN SERAI – Jenazah Noriah Kasa, 40, mangsa yang maut dalam kemalangan bas kilang di Juru hari ini, selamat dikebumikan di tanah perkuburan Islam Sungai Dungun dekat sini kira-kira 6.05 petang tadi.


Terdahulu, jenazah disembahyangkan di Masjid Jamek Sungai Dungun dengan diimamkan oleh imam masjid tersebut, Samsudin Ahmad.


Kakak mangsa, Rosnah, 50, berkata, Noriah, yang merupakan anak kedua daripada lima beradik, merupakan seorang ibu tunggal yang amat bertanggungjawab terhadap tiga anaknya.


Katanya Noriah mahu melihat anak bongsunya Zarul Haziq Zuryanidufizan, 12,  bergelar ustaz, namun ia tidak kesampaian apabila dia maut dalam kemalangan ngeri itu.


[ARTIKEL BERKAITAN:Tujuh warga asing, seorang rakyat tempatan maut]


“Ahad lalu, semua adik-beradik kami berkumpul  di sini sempena cuti sekolah dan itulah kali terakhir kami bertemu dan makan bersama dengan arwah,” katanya ketika ditemui media di rumahnya di Kampung Parit Sungai Dungun, di sini.


Rosnah berkata pada pertemuan terakhir itu, adiknya tidak menunjukkan sebarang perubahan.


Beliau berkata Noriah adiknya baru empat tahun bekerja di kilang elektronik di Prai, Pulau Pinang bagi menyara kehidupan keluarga.


Kemalangan di KM147 Lebuhraya Utara Selatan menghala utara berhampiran Plaza Tol Juru pada 5.30 pagi tadi meragut lapan nyawa. – Bernama


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]