MyPPP akan jumpa MIC dalam masa terdekat

in Politik by


SHAH ALAM – Presiden Parti Progresif Penduduk (MyPPP) Tan Sri M. Kayveas berkata, beliau membuat keputusan untuk berjumpa dengan Presiden MIC, Datuk Seri Dr S.Subramaniam dalam masa terdekat ini.


Menurutnya, keputusan tersebut dibuat bagi menyelesaikan kemelut antara kedua-dua parti itu dengan cara yang baik.


“Ia untuk mengelakkan pertelingkahan antara parti dan saya juga bimbang jika keadaan ini berterusan di dalam media sosial, ia akan menimbulkan ketegangan antara pihak MyPPP dan MIC sekaligus akan menjejaskan nama baik parti BN seluruhnya.


“Dalam masa yang sama, saya juga faham akan kerisauan beliau (S.Subramaniam) jika berlaku pengurangan kerusi, namun saya yakin dengan adanya perbincangan khusus di antara pihak kami, akan ada penyelesaian terbaik untuk MyPPP dan MIC,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.


Terdahulu, MIC menegaskan bahawa kerusi Parlimen Cameron Highland kekal milik parti itu dan dakwaan MyPPP bahawa kerusi tersebut akan dikembalikan pada parti itu adalah tidak benar sama sekali.


Sementara itu, Kayveas juga mendakwa beliau akan memilih calon yang disukai dan diterima pengundi pada PRU 14 nanti.


“Oleh itu, saya telah mengambil tindakan sewajarnya untuk mengajak pihak MIC berbincang dengan pihak saya bagi mencari jalan terbaik demi kemenangan parti.


“Bagaimanapun, pihak MyPPP yakin dalam hal ini, Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak akan membuat keputusan yang terbaik dengan meletakkan calon yang paling sesuai di kerusi tersebut,” jelasnya lagi.

 


Source: SH Politik

[featured-video-plus]