Padang Astaka Tanjong Karang perlu pembaikan

in Edisi Selangor KL by


TANJONG KARANG – Rancangan pembangunan Padang Astaka Tanjong Karang dan mewujudkan kawasan riadah hiliran sungai, di sini mampu memberikan kepentingan awam sekali gus menarik lebih ramai pelancong.


Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar menjelaskan, pembangunan yang dirancang menggunakan peruntukan kementerian bagi membangunkan kawasan rekreasi untuk penduduk setempat.


Menurutnya, kementerian sebelum ada mencadangkan untuk mencantikkan kawasan padang astaka ini dan hiliran sungai melalui Program Strategi Lautan Biro Nasional (NBOS) bersama jabatan berkaitan.


“Namun saya kesal bila dimaklumkan permohonan yang dibentangkan dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) itu ditolak atas alasan pelaksanaan dasar baru kerajaan negeri.


“Saya hormati keputusan ini bagaimanapun sepatutnya kerajaan negeri patut turun padang dan lihat sendiri keperluan kemudahan rekreasi awam di Tanjong Karang,” katanya.


Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang itu berkata, sepatutnya cadangan pembangunan itu tiada masalah kerana  tidak menggunakan peruntukan kerajaan negeri walau sesen pun.


“Cadangan pembangunan ini menggunakan peruntukan kementerian dan tiada satu sen pun  duit kerajaan negeri…barang kali sebab Tanjong Karang Noh Omar mungkin itu sebab mereka tolak permohonan ini.


“Kementerian akan cari jalan untuk membolehkan projek yang bernilai RM6 juta ini dapat dijayakan demi kepentingan awam dan dimaklumkan banyak pembangunan untuk penduduk termasuk dewan komuniti dalam taman perumahan kena tolak.


 


 


 


“Sebagai contoh, banyak permohonan untuk membina dewan komuniti ditolak atas alasan sama sedangkan keperluan dewan ini cukup penting untuk kegunaan penduduk,” katanya.


Source: SH Edisi Sel KL

[featured-video-plus]