Penjawat awam, dua wanita antara ditahan AADK

in Semasa by


KUALA BERANG – Seorang penjawat awam hari ini antara 52 orang yang ditahan kerana terlibat dalam penyalahgunaan dadah dipercayai pil kuda dalam serbuan Ops Perdana NBOS Siri Kedua Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Terengganu.


Operasi berkenaan turut dijalankan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).


Suspek berumur 29 tahun itu ditahan awal pagi tadi di Kampung Kuala Telemong ketika sedang tidur.


Ketika ditemui pemberita suspek mengaku telah mengambil pil kuda sejak zaman kolej dan pernah  ditangkap namun mengambil semula akibat tidak tahan ketagihan.


“Saya tidak tahu nasib saya..ada wujud rasa penyesalan tapi saya sudah main pil kuda ini sejak menyambung pengajian lagi…dahulu saya pernah ditangkap kerana hisap dadah dan berhenti mengambil ‘benda’ tersebut..tapi sekarang ambil balik sebab rasa ketagih,” katanya ketika ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Terengganu, di sini hari ini.


Turut hadir Pengarah AADK Terengganu Muhammad Tajmuddin Shah Muda dan Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud.


Muhammad Tajmuddin berkata, serbuan yang dijalankan di sekitar daerah Hulu Terengganu dan Setiu bermula semalam  hingga esok itu memfokuskan beberapa kawasan positif penyalahgunaan dadah sekitar daerah Hulu Terengganu iaitu di sekitar Kampung Durian Bador, Kampung Jenagor, dan Kampung Langgar. Manakala di Setiu pula menyasarkan sekitar Felda Chalok Barat dan Felda Kampung Rahmat,” katanya.


Katanya, menerusi operasi itu dua wanita ditahan, salah seorangnya berumur 45 tahun yang ditahan di Kampung Bukit Diman, Hulu Terengganu, 4 pagi tadi.


“Suami suspek turut positif dadah jenis metamphetamin namun sempat melarikan diri. Kami percaya wanita tersebut sebenarnya dipengaruhi oleh suami untuk menghisap dadah yang sama…suspek dulu pernah ditahan pada tahun 2012  dan kini sudah habis tempoh pengawasan ke atasnya.


Di Setiu juga ada seorang wanita berjaya diberkas dalam sekatan jalan raya semalam di mana suspek berumur 30-an berasal dari Kelantan dan turut positif dadah jenis metamphetamin…turut ditahan dua orang remaja lelaki berumur 15 tahun di Setiu dan Hulu Terengganu dan positif dadah yang sama,” katanya.


Tajmuddin berkata daripada 52 tangkapan itu satu daripadanya ditahan dibawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 atas kesalahan memiliki dadah manakala selebihnya ditahan di bawah Seksyen 3(1) Akta Penagihan Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 pindaan 1988 untuk tindakan lanjut.


Kata beliau, operasi ini memperlihatkan trend peningkatan penggunaan dadah jenis metamphetamin  kerana atas faktor harga pasaran yang murah.


“Sebiji pil boleh dibeli dengan harga RM10…tapi makin banyak kita (beli)…harga tersebut lagi boleh jatuh lebih murah,” katanya. – Bernama


Source: SH Semasa

[featured-video-plus]