PUNB peruntuk RM10 juta pinjaman pembelian trak makanan

in Bisnes by


PERBADANAN Usahawan Nasional Berhad (PUNB) memperuntukkan sebanyak RM10 juta di bawah Skim Prosper Runcit bagi pinjaman pembelian trak makanan yang dilancarkan hari ini.


Pengerusinya Tan Sri Mohd Ali Rustam berkata pembiayaan maksimum RM150,000 bagi setiap permohonan itu terbuka kepada usahawan bumiputera yang memiliki perniagaan milikan tunggal atau perkongsian.


Beliau berkata bagi fasa pertama skim berkenaan akan melibatkan kira-kira 70 perniagaan dan peruntukan tersebut akan ditambah sekiranya terdapat permintaan yang tinggi.


“Skim pinjaman pembelian trak makanan berkenaan dilancarkan kerana kami melihat terdapat permintaan yang tinggi dalam industri perniagaan makanan dan minuman.


“Tempoh pembiayaan berkenaan antara lima hingga tujuh tahun itu berlandaskan konsep syariah atau tawarruq,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran ‘PUNB Mobile Truck’ di Kuala Lumpur, hari ini.


Turut hadir Lembaga Pengarah PUNB Datuk Jamelah A. Bakar dan Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Seri Azman Ujang serta Ketua Pegawai Eksekutif PUNB Datuk Azhar Ahmad.


Mengulas lanjut, Mohd Ali berkata pinjaman tersebut dikenakan faedah sebanyak 4.5 peratus setahun atas kadar rata dan permohonan diluluskan dalam tempoh tujuh hari bekerja tertakluk sekiranya dokumen lengkap.


Beliau berkata berdasarkan kajian dan analisa yang dilakukan PUNB kebanyakan peniaga atau usahawan khususnya kalangan orang muda lebih cenderung memilih perniagaan berkonsepkan gaya hidup seiring dengan trend dan cita rasa masyarakat hari ini.


“Antara syarat permohonan pinjaman tersebut termasuk memiliki lesen memandu kelas GDL, memiliki lesen perniagaan yang sah, lokasi perniagaan diluluskan pihak berkuasa tempatan dan pembelian trak daripada pengedar yang dilantik PUNB,” katanya.


Menurut beliau permohonan juga perlu mempunyai reputasi pembiayaan pinjaman yang baik dan permohonan boleh dilakukan secara terus di pejabat atau cawangan PUNB yang berdekatan.


Katanya setakat pelancarannya hari ini,  pihaknya menerima 121 permohonan daripada usahawan di Melaka bagi pembelian trak bergerak berkenaan.


Terdahulu, pada majlis tersebut Mohd Ali turut melancarkan ‘Buku Kisah Kejayaan 50 Usahawan PUNB Melaka’.


Dalam pada itu beliau berkata buku mengisahkan kejayaan usahawan PUNB dari negeri lain di seluruh negara turut akan ditulis sebagai pembakar semangat dan tauladan buat usahawan lain yang ingin berjaya dalam bidang perniagaan. – Bernama


Source: SH Bisnes

[featured-video-plus]