Putus diplomatik tidak efisien

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Kerajaan enggan membuat keputusan terburu-buru untuk memutuskan hubungan diplomatik dengan kerajaan Myanmar yang bertanggungjawab terhadap penindasan etnik Rohingya di negara itu.


Timbalan Menteri Luar, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, tindakan tersebut tidak efisien dan jika dilaksanakan ia hanya akan lebih menyukarkan negara menghulurkan bantuan kepada mangsa pelarian Rohingya.


“Jika hubungan diplomatik diputuskan, sudah tentu pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari Malaysia tidak akan dibenarkan masuk ke kawasan wilayah Rakhine bagi membantu warga Rohingya yang ditindas.


“Kita melihat bahawa ada perkara kita perlu ambil tindakan, begitu juga sebaliknya. Hal ini kerana pada masa sama, kita perlu pastikan matlamat kita mahu capai itu dapat dihasilkan,” katanya menjawab soalan tambahan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail di Dewan Rakyat, semalam.


Beliau berkata, selain hubungan diplomatik, perkara sama turut dititikberatkan terhadap aspek pelaburan negara ini di Myanmar.


“Kita buat kajian, jika kerajaan mengambil satu tindakan menarik semua pelaburan di Myanmar, ia mungkin tidak memberi impak yang positif kepada apa yang kita ingin kita capai.


“Kita tak perlu terburu-buru kerana ia melibatkan pelaburan syarikat-syarikat terlibat, sama ada swasta, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) atau syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC). Jika syarikat terbabit bersifat swasta, mereka sendiri akan tentukannya,” katanya.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]