Taufan Lan beri keuntungan

in Edisi by


BALING – Kesan pelanggaran Taufan Lan di timur Filipina Selasa lalu hingga menyebabkan suhu di semenanjung ketika ini meningkat pada 33 darjah Celsius membawa rezeki kepada peniaga air khususnya dalam daerah ini.


Peniaga air tebu, Mehad Ahmad, 66, dari Padang Kulim berkata, pendapatannya meningkat dua kali ganda sejak cuaca panas bermula seminggu yang lalu.


“Waktu cuaca panas ni ramai yang datang beli air tebu di sini. Harga pun tak mahal, secawan RM1 saja.


“Beza dengan musim hujan sebelum ni, pendapatan pak cik merosot. Pelanggan memang tak ramai sangat,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, semalam.


Menurutnya, hasil jualan air tebu dijual kini mencecah melebihi RM100, berbanding RM40 ketika musim hujan.


“Waktu musim hujan RM40 tu la paling tinggi pak cik dapat, kadang-kadang RM20. Kalau hujan berterusan memang langsung tak dapat hasil.


“Tapi sekarang berbeza, sehari dalam 50 kilogram (kg) batang tebu habis diproses. Ada hari, lebih daripada tu lagi,” katanya.


Mehad berkata, dia berharap keuntungan diperoleh ketika musim kemarau ini dapat membantunya menunaikan ibadah umrah.


Peniaga, Mohd Rodzi Abd Halim, 52, dari Kampung Tembak A berkata, sebanyak 100 cawan air tebu terjual dalam musim kemarau.


“Masa musim hujan dalam 60 atau 70 cawan saja.


“Mula dari waktu Zohor sampai Asar ramai yang datang beli air tebu di sini. Selalunya yang datang tu cikgu sekolah dan ibu bapa yang datang ambil anak dari sekolah,” katanya.


Terdahulu, Profesor Klimatologi dan Oseanografi dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Fredolin Tangang berkata, semenanjung menjadi kurang berawan, cuaca stabil dan insolasi (radiasi pancaran matahari dan suhu meningkat) kesan daripada Taufan Lan yang menggegarkan timur Filipina.


Menurutnya, taufan itu ibarat menghempas ‘ekor’ ke Sabah, Sarawak dan Labuan dengan menyebabkan peralihan kelembapan udara semenanjung ke kawasan berdekatan taufan terutama Sabah.


Panas di kawasan semenanjung dijangka berterusan hingga minggu depan.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]