The Brandlaureate nafi anugerah kepada Zambry dibayar

in Uncategorized by


IPOH – Pihak The Brandlaureate menafikan dakwaan Pengerusi Amanah Perak, Asmuni Awi bahawa anugerah yang diberikan kepada Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dibayar.


Presidennya, Dr KK Johan berkata, anugerah yang diberikan tidak boleh dibeli dan penerima anugerah dipilih berdasarkan merit dan pencapaian.


“Kami ingin menegaskan bahawa anugerah yang diberikan kepada Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir diberikan berdasarkan pencapaian beliau sebagai pemimpin di peringkat negeri dan sumbangan beliau terhadap pembangunan Perak serta Malaysia.


“Kesemua personaliti terkemuka yang pernah menerima anugerah ini diberikan berdasarkan pencapaian dan sumbangan dalam bidang masing-masing,” katanya menerusi satu kenyataan kepada media, hari ini.


Beliau berkata demikian sebagai mengulas tuduhan Asmuni yang menuduh Zambry membeli anugerah tersebut.


Katanya, antara tokoh dan individu yang pernah menerima anugerah The Brandlaureate ini termasuklah Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Rafidah Aziz, Toh Puan Aishah Ong, Tan Sri Yahaya Ibrahim, Datuk Wah Idris, Datuk Marina Chin, Datuk Faridah Merican, Datuk Ahmad Nawab, Tan Sri Zarinah Anwar, Datuk Redzuawan Ismail, Jeff Bezos, Muhammad Ali, Mark Zuckerberg, Nelson Mandela, Hillary Clinton, Jack Ma dan ramai lagi.


“Tuduhan yang dilemparkan Asmuni seolah-olah satu penghinaan dan fitnah terhadap integriti Anugerah The Brandlaureate.


“Kita mendesak permohonan maaf terhadap tuduhan ini. Jika tidak, kami berhak mengenakan tindakan undang-undang sebagai menuntut ganti rugi atas reputasi dan integriti kami,” katanya.


Source: SH Edisi Perak

[featured-video-plus]