Tillerson lawat Baghdad, fokus tewaskan Daesh

in Global by


BAGHDAD – IRAQ. Setiausaha Amerika Syarikat (AS) Rex Tillerson tiba di Baghdad pada Isnin dalam lawatan yang tidak diumum untuk bertemu pemimpin Iraq, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan seorang pegawai di Kementerian Luar Iraq.


Tillerson dijangka mengadakan perbincangan dengan para pemimpin atasan Iraq bagi membincangkan hubungan dua hala serta ketegangan antara Baghdad dan wilayah separa autonomi Kurdistan susulan referendum mengenai kemerdekaan bulan lepas,  maklum pegawai itu kepada Xinhua dengan syarat identitinya tidak didedahkan.


Tillerson juga dijangka membincangkan usaha untuk membina semula bandar-bandar dan pekan-pekan selepas kekalahan kumpulan Daesh di kubu kuatnya di negara itu, kata beliau.


Beratus-ratus tentera AS sudahpun berada di Iraq, dengan berkhidmat sebagai pelatih dan penasihat, dalam percubaan untuk membantu negara itu memenangi perjuangan menentang militan Daesh.    


Gabungan antarabangsa yang diterajui AS juga telah melancarkan serangan udara terhadap sasaran Daesh di Iraq mahupun Syria.


Lawatan Tillerson dibuat semasa ketegangan kian meningkat antara Baghdad dan Kurdistan selepas puak Kurdish mengadakan satu referendum kontroversi mengenai kemerdekaan wilayah itu serta kawasan-kawasan pertikaian.


Kemerdekaan Kurdistan bukan sahaja ditentang oleh kerajaan pusat Iraq malah negara lain kerana ia didakwa akan mengancam integriti Iraq dan melemahkan perjuangan menentang militan Daesh. – Bernama

 


Source: SH Global

[featured-video-plus]