Ahmad Zahid betul, Jho Low sudah tidak relevan

in Nasional by


SHAH ALAM – Kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilihat tepat apabila menegaskan tiada keperluan untuk mendapatkan bantuan Pertubuhan Polis Antarabangsa (Interpol) bagi mengesan ahli perniagaan Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low kerana ia tidak lagi relevan.


Panel Pemikir Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), Tun Faisal Ismail Aziz berkata, ketidakperluan itu adalah kerana tiada bukti yang menunjukkan Jho Low melesapkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan melanggar sebarang undang-undang di Malaysia berkaitan isu ini.


Menurutnya, sudah terbukti melalui prosiding dan Laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), tiada wang 1MDB yang dicuri oleh mana-mana pihak.


“Jika terdapat bukti Jho Low melesap atau mencuri wang 1MDB, sudah pasti PAC yang turut dianggotai ahli Parlimen pembangkang telah memanggil Jho Low untuk disoal dalam prosiding berkenaan 1MDB.


“Selain itu, mencadangkan agar pihak berkuasa menyiasatnya seperti cadangan PAC untuk menyiasat bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy,” katanya dalam satu kenyataan.


Katanya, siasatan yang dilakukan oleh Biro Siasatan Oersekutuan (FBI) dan Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat (AS) adalah disebabkan sebelum ini mereka belum membuat siasatan yang lengkap berkaitan kes 1MDB, sebaliknya hanya bergantung kepada aduan yang dibuat sebelum ini.


“Mereka mendakwa Jho Low melanggar undang-undang AS. Maka memang wajar mereka menyiasat Jho Low.


“Pihak berkuasa negara lain juga wajar berbuat demikian jika mendapati Jho Low melanggar undang-undang negara mereka,” ujarnya.


Tun Faizal berkata, jika benar wang 1MDB dicuri, sudah pasti akan ada pendakwaan dibuat.


“Sehingga kini, tiada bukti wang 1MDB dicuri. Pendakwa raya kes yang dikatakan berkaitan 1MDB di Singapura juga tidak pernah memanggil 1MDB sebagai saksi pendakwa untuk mengesahkan duit 1MDB yang dicuri dan digubah di sepanjang perbicaraan kes di mahkamah Singapura.


“Bukan 1MDB yang membuat aduan kehilangan wang, sebaliknya dana kekayaan Abu Dhabi, iaitu International Petroleum Investment Co (IPIC) dan syarikatnya Aabar PJS. Ada dakwaan Jho Low mempunyai kaitan dengan bekas pegawai-pegawai syarikat IPIC dan Aabar PJS,” katanya.


Tambahnya lagi, masih tiada berita pihak berkuasa Abu Dhabi berusaha mendapatkan bantuan Interpol untuk mengesan dan menangkap Jho Low untuk dibicarakan di negara tersebut.


[ARTIKEL BERKAITAN: TPM nafi guna Interpol kesan Jho Low]


Terdahulu, Ahmad Zahid menafikan meminta bantuan Interpol bagi mengesan kedudukan ahli perniagaan, Jho Low.


Beliau berkata demikian berhubung jawapannya terhadap soalan tambahan mengenai isu tersebut di Dewan Rakyat.


“Pejabat Timbalan Perdana Menteri menafikan secara tegas laporan yang dibuat oleh beberapa media sosial yang telah memanipulasikan jawapan Ahmad Zahid bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang meminta bantuan Interpol bagi menjejak ahli perniagaan Jho Low.


“Bagaimanapun, media berkenaan seolah menimbulkan isu pencarian semula terhadap Jho Low dan itu sama sekali tidak benar.


“Hubungan yang baik telah terjalin antara PDRM dan Interpol dalam menyiasat kes ini dan sehingga hari ini, PDRM telah menutup fail kes berkenaan dan tiada lagi permintaan oleh Interpol terhadap kes tersebut,” katanya.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]