Amran dilantik Datuk Bandar MBJB baharu

in Edisi Johor by


JOHOR BAHRU – Pengarah Jabatan Agama Islam negeri, Amran A Rahman dilantik sebagai Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) yang baharu berkuatkuasa Isnin lepas.


Beliau menggantikan A Rahim Nin yang dilantik sebagai Pegawai Kewangan negeri.


Amran, 53 merancang untuk meneruskan tradisi kecemerlangan MBJB dan bagi memenuhi visi tersebut beliau komited untuk melipat gandakan usaha bagi memenuhi hasrat tersebut walaupun dalam tempoh yang semakin singkat.


Menurutnya, MBJB perlu dibangunkan sebagai sebuah bandar raya yang maju serta moden dan mempunyai persekitaran yang kondusif serta mampan dengan memberi penekanan kepada aspek keselamatan dan kesejahteraan untuk didiami.


“Penyediaan infrastruktur yang berkelas dunia seperti kemudahan pengangkutan awam yang cekap, sistem trafik yang efisien turut menjadi fokus penting dan merupakan cabaran utama sebagai pihak berkuasa tempatan.


“Saya yakin dan percaya, bandaraya Johor Bahru berpotensi untuk mencapai status sebuah bandaraya antarabangsa, sejahtera dan lestari.


“Ia berdasarkan perspektif kepentingannya dalam konteks nasional, kedudukan geografinya yang strategik dan infrastruktur sedia ada dan sedang dalam perancangan,” katanya.


Beliau berkata demikian semasa Majlis Pelantikan dan Angkat Sumpah Datuk Bandar MBJB ke-11 di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, di sini, hari ini.


Pada majlis berkenaan pemasyhuran dan penyerahan surat cara dan pelantikan Amran telah diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Md Jais Sarday.


Amran turut membacakan bacaan Aku Terima Jawatan Datuk Bandar dan Ahli Majlis MBJB serta Akuan Sumpah Menyimpan Rahsia dan Ikrar Menentang Rasuah di hadapan Md Jais yang mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.


Md Jais bersama Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Azmi Rohani kemudiannya menyarungkan jubah serta memakaikan kalung serta songkok sebagai menyempurnakan istiadat berkenaan.


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]