Bahrain negara pertama hantar laporan sekat Korea Utara

in Global by


SEOUL – KOREA SELATAN. Bahrain menjadi negara pertama yang mengemukakan laporan, mengenai pelaksanaan sekatan terhadap Korea Utara kepada Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), lapor agensi berita Korea Selatan Yonhap.


Menurut laporan disiarkan di laman web jawatankuasa sekatan PBB ke atas Korea Utara pada Rabu, Bahrain berkata, menerusi Jawatankuasa Kebangsaan, negaranya telah melaksanakan sekatan berdasarkan peruntukan Resolusi 2375 Majlis Keselamatan PBB.


Pada 11 September, Majlis Keselamatan PBB, menerima pakai resolusi itu sebagai tindak balas terhadap pelancaran ujian nuklear keenam Korea Utara.


Antara sekatan dikenakan ialah import petroleum dan tekstil Korea Utara selain sekatan terhadap semua laluan udara, darat serta laut.


Menurut laporan itu lagi, Bahrain mengarahkan Dewan Perniagaan dan Perdagangan, pihak berkuasa mengendalikan industri minyak dan gas, bank dan institusi kewangan untuk melaksanakan resolusi berkenaan.


Selain itu, Jawatankuasa Kebangsaan Bahrain, akan memantau secara berkala bagi memastikan pelaksanaan resolusi dilakukan secara menyeluruh dan berterusan.


Setakat Rabu, Bahrain satu-satunya negara mengemukakan laporan mengenai pelaksanaan resolusi itu, semua negara anggota PBB dikehendaki menyerahkan laporan berkenaan sebelum pertengahan Disember. – Bernama


Source: SH Global

[featured-video-plus]