Bajet 2018: Terengganu buat 'special request'

in Edisi Terengganu by


KUALA TERENGGANU – Kerajaan Negeri Terengganu mengemukakan permohonan peruntukan bagi membina lebih 10,000 kediaman untuk rakyat menerusi Bajet 2018.


Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, perkara itu dikemukakan menerusi kertas cadangan yang dihantar sempena pembentangan Bajet 2018 yang akan berlangsung Jumaat ini.


Menurutnya, selain itu, kerajaan negeri juga mengemukakan cadangan bagi menjadikan dua lokasi di negeri ini sebagai Hab Digital iaitu di Telaga Papan, Setiu dan Kampung Ladang di sini.


“Kerajaan negeri ada buat permohonan untuk menjadikan Terengganu sebagai Hab Digital bagi membantu peniaga-peniaga atas talian (online).


“Kita juga dah cadangkan supaya Terengganu dapat membina tidak kurang dari 10,000 projek perumahan untuk rakyat dalam bajet baharu itu. Ini adalah ‘special request’ dari kerajaan negeri. Kita harap permohonan ini terdapat dalam bajet yang akan di bentang nanti,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan sumbangan insentif kepada pemilik beca dan bot penambang di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.


Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Roslee Daud serta Pengarah Pelancongan negeri, Tun Ahmad Faisal Tun Abd Razak.


Ahmad Razif berkata, Hab Digital Terengganu dengan kos dianggarkan sebanyak RM25 juta di kawasan seluas 1,000 ekar itu adalah hasil transformasi ekonomi yang akan dilaksanakan melalui kerjasama Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).


Katanya, ia menawarkan jualan dan perkhidmatan produk,  pembelajaran dan ruang kerja atau operasi syarikat-syarikat dan usahawan yang terlibat dalam kegiatan ekonomi digital.


Selain itu, katanya, kerajaan negeri juga telah mengemukakan cadangan menerusi Bajet 2018 bagi peruntukan kemudahan kesihatan, pendidikan serta menyelesaikan isu-isu dan permasalahan sosial terutama melibatkan penyalahgunaan dadah.


“Ini adalah perkara-perkara yang dapat dicadangkan dalam bajet 2018. Bagi Hab Digital, kita dah buat proposal dan diberi peluang membentangkan projek ini, jadi kita tunggu dan lihat supaya ia dapat direalisasikan dalam bajet 2018,” katanya.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]