Berkat berbudi kepada tanah

in Edisi Pahang by


SEORANG belia dari Kampung Penjom di sini mampu tersenyum lebar apabila tanaman cili fertigasi yang diusahakan di atas tanah pusaka milik keluarga membuahkan hasil.


Ahmad Syakir Hamdan, 35, berkata, tanaman bermodalkan kira-kira RM12,000 termasuk pembersihan tanah dan penanaman biji benih memberi hasil selepas tiga bulan.


“Sebanyak 1,000 anak pokok ditanam di atas tanah seluas 0.4 hektar pada Jun lepas dengan bantuan ahli keluarga termasuk ibu, ayah, adik dan adik ipar ini dituai selepas tiga bulan.


“Pertanian fertigasi memang memerlukan modal awal yang agak tinggi tapi ia beri hasil yang sangat cepat dan semaian pertama memberi pendapatan sehingga RM15,000,” katanya ketika ditemui di Kampung Penjom di sini, semalam.

Ahmad Syakir menunjukkan cili minyak 461 Gred A hasil semaian pertama.


Menurutnya, dorongan diberikan ahli keluarga yang meminta mengusahakan tanah kosong di hadapan rumah mereka meskipun pada awalnya berat hati untuk menjalankan pertanian fertigasi berkenaan kerana bimbang tidak menjadi.


“Lagipun saya kena beri tumpuan terhadap pusat mencuci kenderaan milik saya tapi, selepas dipujuk ahli keluarga akhirnya saya cuba usahakan tanaman cili.


“Saya pergi kursus anjuran Pertubuhan Peladang Negeri Pahang (Pasfa) di Telang dan Kuala Medang. Dalam kursus itu saya diajar cara-cara kawalan penyakit dan formula baja yang sesuai untuk tanaman cili fertigasi selain terdapat mentor memantau projek diusahakan,” katanya.


Ahmad Syakir berkata, dia bersama ahli keluarga juga kerap menghabiskan masa di kebun dengan memeriksa tanaman, meracun serta membersihkan kawasan bagi memastikan pokok tumbuh dengan subur dan segar.


“Ketika pokok galak mengeluarkan buah, saya perlu bekerja lebih agresif hingga ada kalanya terpaksa minta bantuan ibu, ayah dan adik-adik untuk mengutip cili.

Ahmad Syakir memeriksa cili yang ditanam di atas tanah seluas 0.4 hektar di hadapan rumahnya di Kampung Penjom.


“Sehari saya boleh kutip kira-kira 100 hingga 200 kilogram cili. Cili ini kemudiannya dihantar ke pusat pengumpulan hasil di Temerloh. Ada juga saya jual kepada pengusaha kedai makan di sekitar daerah Lipis,” katanya.


Jelasnya, tanaman cili fertigasi tidak rumit namun memerlukan kesungguhan dan ketelitian bagi memastikan pokok tidak sakit dan bebas daripada makhluk perosak.


Source: SH Edisi Pahang

[featured-video-plus]